Ikuti Kami:

Dari Pencabar Kepada Juara, Jalaludin Hassan Buat Kejutan Terbesar Di Pentas Konsert Kilauan Emas Selebriti Minggu 4

Dari Pencabar Kepada Juara, Jalaludin Hassan Buat Kejutan Terbesar Di Pentas Konsert Kilauan Emas Selebriti Minggu 4

SHAH ALAM – Datuk Jalaludin Hassan melakar kejutan terbesar apabila berjaya merampas kedudukan pertama pada pentas Konsert Kilauan Emas Selebriti Minggu Ke-4 yang berlangsung malam tadi di Auditorium MBSA Shah Alam.

Menerusi persembahan lagu Hindi, Nasha Ye Pyar Ka dendangan asal Udit Narayan, pelakon legenda itu membuktikan kehebatan vokalnya masih berbisa untuk mengenepikan sembilan pencabar lain dengan kutipan markah penuh 79.42%. Persembahan beliau yang penuh keyakinan dan berkarisma membolehkannya mengatasi pencabar-pencabar lain serta merampas kedudukan teratas minggu ini.

Menepati tema mingguan “Yang Penting ‘Happy'”, konsert dimulakan dengan penuh bertenaga menerusi persembahan pembukaan oleh ratu dangdut, Amelina, yang mendendangkan lagu Di Dadaku Ada Kamu dan Semakin Rindu Semakin Asyik. Amelina hadir sebagai juri jemputan untuk konsert minggu ke-4.

Dari Pencabar Kepada Juara, Jalaludin Hassan Buat Kejutan Terbesar Di Pentas Konsert Kilauan Emas Selebriti Minggu 4

Amelina hadir sebagai juri jemputan minggu ini.

 

Di tempat kedua pula ialah Zila Bakarin yang membawakan lagu Kugembira Disampingmu dengan kutipan 69.98 peratus, diikuti rapat oleh Amyza Aznan menerusi lagu Hati Muda yang memperoleh 68.99 peratus, hanya dipisahkan jurang 0.99 peratus.

Sementara itu, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar yang mempertaruhkan mash-up lagu Apo Nak Dikato dan Mak Siti berada di kedudukan keempat dengan 63.11 peratus. Kedudukan lima terbaik dilengkapkan oleh Rashdan Baba menerusi persembahan Hati Emas yang berjaya mengumpul 60.10 peratus, membuktikan peningkatan positif berbanding minggu-minggu sebelumnya.

Dalam kelompok pertengahan pula, Rahhim Omar mencatat 55.72 peratus menerusi lagu Kau Lupa Janji, manakala Maria Tunku Sabri mencipta kejutan apabila berjaya memperoleh 53.72 peratus hasil persembahan Can’t Take My Eyes Off You sekaligus membawa beliau keluar dari kedudukan Bottom 3 setelah 3 minggu menduduki kedudukan tercorot.

Dari Pencabar Kepada Juara, Jalaludin Hassan Buat Kejutan Terbesar Di Pentas Konsert Kilauan Emas Selebriti Minggu 4

Maria Tunku Sabri terus konsisten menerusi persembahan ‘Can’t Take My Eyes Off You’, berjaya memboloskan diri dalamĀ  kelompok pertengahan dan menerima pujian dari Datuk Yusry

 

Maria turut menerima pujian dari Datuk Yusri untuk konsistensi dalam persembahan beliau. Kedua-dua peserta masih berpeluang memperbaiki kedudukan sekiranya berjaya menampilkan persembahan yang lebih menonjol pada minggu akan datang.

Di tangga terbawah ‘Bottom 3’ carta Minggu 4, Fazlina Ahmad Daud membawakan lagu Gadis Dan Bunga untuk memperoleh 51.84 peratus, diikuti Mubarak Majid dengan lagu Berdendang Sayang yang menerima 51.59 peratus. Khaty Azian pula menutup senarai kedudukan minggu ini menerusi lagu Tragedi Buah Epal dengan markah 48.72 peratus. Perjalanan Mubarak dan Khaty berakhir pada minggu ini apabila kedua-dua mereka tersingkir dari pertandingan itu.

Dari Pencabar Kepada Juara, Jalaludin Hassan Buat Kejutan Terbesar Di Pentas Konsert Kilauan Emas Selebriti Minggu 4

Pelakon Khaty Azian sekadar berpuas hati di tangga terakhir sekaligus menoktahkan perjalanan dalam KES 2026.

 

Rekod permarkahan minggu ini memperlihatkan jurang yang agak ketara antara kelompok teratas dan peserta di bahagian bawah carta. Namun begitu, persaingan dalam kelompok pertengahan masih terbuka luas dan cukup sengit memandangkan perbezaan markah yang tidak terlalu besar.

Selain persembahan peserta bertanding, penonton turut dihiburkan dengan kemunculan penyanyi rock, Oney, bagi segmen ‘Telan Kaset’, yang menyampaikan lagu Jemu sebelum berduet bersama Safura menerusi karya Jangan Menangis Sayang.

Dari Pencabar Kepada Juara, Jalaludin Hassan Buat Kejutan Terbesar Di Pentas Konsert Kilauan Emas Selebriti Minggu 4

Perjalanan pelakon veteran Mubrak Majid di pentas KES 2026 turut terhenti apabila diumumkan tersingkir pada akhir konsert malam tadi.

 

Pentas konsert Kilauan Emas Selebriti yang bersiaran secara langsung dikemudikan dengan cemerlang oleh pasangan hos serasi, Raja Azura dan Keanu Azman. Sementara itu kredibiliti serta keunikan persembahan para peserta diadili sebulat suara oleh juri tetap profesional iaitu Jihan Muse dan Datuk Yusry Abdul Halim yang turut memainkan peranan dalam menentukan kedudukan peserta pada minggu ini.

Dalam format pertandingan yang semakin menghampiri fasa kritikal, nasib setiap bintang kini bergantung kepada kebijaksanaan memilih lagu, kreativiti persembahan serta kemampuan meninggalkan impak yang kuat kepada juri dan penonton.

Minggu hadapan dijangka menjanjikan lebih banyak kejutan apabila para peserta bakal tampil habis-habisan untuk memastikan mereka terus kekal dalam saingan merebut tempat ke peringkat suku akhir Kilauan Emas Selebriti 2026.

Loading...