KUALA LUMPUR: Selepas setahun mencetuskan fenomena dalam industri muzik tempatan, kumpulan lelaki (boyband) sensasi, ALPHA berjaya merealisasikan impian mereka apabila melakar sejarah menerusi konsert solo sulung, The First Wave yang berlangsung meriah di Zepp Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.
Dibarisi tujuh anak muda berbakat iaitu Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky, konsert anjuran Rocketfuel Entertainment itu disaksikan oleh ribuan peminat setia mereka yang digelar ALPHANITES, sekali gus membuktikan dominasi luar biasa kumpulan ini dalam tempoh yang cukup singkat.
Malah, kehangatan fenomena ALPHA terbukti apabila tiket konsert berkenaan dilaporkan habis dijual (sold out) dalam tempoh hanya satu jam setengah sahaja!

ALPHA gegar Zepp KL, ‘The First Wave’ bukti fenomena mereka baru bermula.
Menurut salah seorang anggotanya, Izat, konsert tersebut merupakan manifestasi daripada usaha berterusan mereka sejak bergelar graduan program realiti Big Stage Alpha.
“Apa yang bermula sebagai sebuah pertandingan akhirnya berkembang menjadi satu fenomena, dan ‘The First Wave’ membuktikan bahawa kisah ALPHA sebenarnya baru sahaja bermula,” katanya.
Gandingan Mantap & Kejutan Pentas
Konsert yang penuh bertenaga itu turut menghimpunkan rakan-rakan alumni Big Stage seperti Adam Nazmie, Yad-Z, Ranisha, Daniel Kifli dan Danny sebagai persembahan pembuka tirai. Pentas Zepp KL semakin bergema apabila penyanyi Hussain menyertai ALPHA menerusi lagu duet Tiada Lagi nyanyian asal Amy Search, sebelum membawakan single solo terbaharunya, Takkan Pernah.
Suasana terus gamat dengan kehadiran penyanyi vokal mantap, Nadeera yang tampil membuat kejutan menerusi persembahan lagu Zapin Usik Mengusik bersama ALPHA, selain menyampaikan lagu Cuba Jadi Aku.

Sorakan ALPHANITES iringi malam bersejarah ALPHA di ‘The First Wave’.
Namun, momen yang paling mencuri tumpuan adalah apabila impian ketujuh-tujuh pemuda ini akhirnya tercapai apabila berpeluang berduet bersama penyanyi dan pelakon popular, Daiyan Trisha menerusi lagu Haru Biru.
Mengulas mengenai gandingan tersebut, Daiyan meluahkan rasa kagum terhadap dedikasi serta perkembangan pesat ALPHA.

The First Wave: Malam yang menyatukan ALPHA, sahabat industri dan ribuan peminat.
“Seronok melihat sejauh mana ALPHA telah berkembang dalam masa yang begitu singkat. Mereka memang bekerja keras dan saya rasa semua kejayaan yang mereka kecapi hari ini sememangnya layak buat mereka. Ini hanyalah permulaan kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” puji Daiyan.
Pratonton Eksklusif & Pencapaian Antarabangsa
Tidak sekadar menyajikan vokal dan tarian mantap, konsert berkenaan turut disuntik elemen kejutan menerusi tayangan eksklusif klip video Burn It Down yang dirakam di Korea, selain tayangan rasmi muzik video terbaharu Mahkota Cinta buat julung kalinya. Sejurus selepas itu, Ray-D bersama pelakon baharu Arabella Ellen tampil dengan aksi tarian khas menerusi lagu popular P. Ramlee Saloma.

ALPHA tayang ‘Burn It Down’ Dan ‘Mahkota Cinta’, peminat jadi saksi eksklusif.
Kejayaan konsert ini melengkapkan penguasaan ALPHA dalam industri muzik apabila album sulung mereka telah meraih lebih 100 juta strim dan tontonan terkumpul di pelbagai platform digital.
Lebih membanggakan, selepas menguatkan reputasi menerusi anugerah di Gempak Most Wanted Awards dan Anugerah Industri Muzik (AIM), impak ALPHA kini mula melangkaui sempadan antarabangsa apabila tercalon dalam Top 5 Most Influential Southeast Asian Artists (Male) di Jupiter Music Awards 2026 serta pencalonan di Japan Music Awards 2026 menerusi lagu P. Ramlee Saloma.
Anggota termuda ALPHA, Sky, menyifatkan sorakan dan sokongan ALPHANITES malam itu sebagai ‘nadi’ utama perjuangan mereka. Bagi Ariel pula, setahun yang berlalu merupakan satu pengembaraan yang menakjubkan bagi tujuh pemuda yang bermula hanya dengan sebuah impian, dan kini berdiri teguh sebagai sebuah fenomena muzik tanah air.

