Malaysia Perkukuh Promosi Pelancongan di Vietnam Sempena Visit Malaysia 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 13 Apr 2026 3:46 pm
HANOI – Tourism Malaysia terus mempergiat usaha mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan utama apabila menyertai Vietnam International Travel Mart (VITM) 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 12 April di Hanoi.
Penyertaan kali ke-10 dalam pameran pelancongan berprestij itu membuktikan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama pelancongan serta meningkatkan hubungan dua hala dengan Vietnam, yang kini menjadi antara pasaran penting di rantau Asia Tenggara.
Menurut Pengarah Tourism Malaysia Ho Chi Minh City, Amirah Nadiah Mazlan, penyertaan kali ini memberi fokus kepada kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang membawa tema “Surreal Experiences”, dengan menampilkan kepelbagaian produk pelancongan negara merangkumi alam semula jadi, budaya, gastronomi dan membeli-belah.
“Melalui platform ini, kami mahu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa khususnya dari Vietnam, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara pemain industri pelancongan kedua-dua negara,” katanya.
Di VITM 2026, pavilion Malaysia menampilkan reka bentuk berinspirasikan keindahan alam dan warisan budaya Borneo, yang terkenal dengan hutan hujan purba, biodiversiti unik serta komuniti etnik yang kaya dengan tradisi. Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi VM2026 yang mengetengahkan pengalaman pelancongan luar biasa dan autentik.
Selain pameran, Tourism Malaysia turut menganjurkan seminar khas VM2026 bagi berkongsi strategi promosi serta membuka ruang kolaborasi antara agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan pemain industri dari kedua-dua negara.
Ketika ini, terdapat sebanyak 190 penerbangan mingguan yang menghubungkan Malaysia dan Vietnam dengan kapasiti hampir 35,000 tempat duduk, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pelancongan dua hala.
Dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan, Malaysia juga akan memperkenalkan Kalendar Acara 2026 yang menampilkan pelbagai acara sepanjang tahun termasuk festival budaya, acara sukan dan hiburan. Antara acara utama ialah Malaysia Mega Sales Carnival, Citrawarna Malaysia, Rainforest World Music Festival serta sambutan Hari Kebangsaan.
Vietnam kekal sebagai antara pasaran sumber pelancong yang penting kepada Malaysia, didorong oleh faktor jarak yang dekat, kemudahan akses penerbangan serta persamaan budaya dan makanan. Dalam masa sama, Malaysia turut giat membangunkan segmen pelancongan khusus seperti MICE, program jangka panjang seperti Malaysia My Second Home (MM2H) serta ekopelancongan di kawasan pulau dan hutan simpan.
Penyertaan aktif dalam VITM 2026 dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong serantau dan antarabangsa, sekali gus menyokong pertumbuhan industri pelancongan negara secara mampan.
