KUALA LUMPUR – Khazanah budaya dan seni warisan Nusantara bakal diberi nafas baharu menerusi penganjuran festival kontemporari mega, AKAR//NEXT 2026, yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026 di lokasi ikonik Central Market (Pasar Seni), Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Goodseed Event, festival bertemakan “One Root. Infinite Futures.” ini merangka sebuah platform inklusif yang menghubungkan akar budaya tradisi bersama citarasa generasi baharu menerusi gabungan muzik, seni visual, fesyen, kraftangan, kulinari, serta teknologi digital interaktif.

Naib Presiden, Komunikasi Korporat dan Pemasaran
Commerce Dot Com Sdn. Bhd.
Berbeza dengan festival biasa, AKAR//NEXT 2026 disusun secara dinamik mengikut peredaran waktu siang dan malam bagi memberikan pengalaman holistik kepada setiap lapisan pengunjung.
Pada sebelah siang, suasana festival lebih santai dan mesra keluarga dengan pelbagai aktiviti jualan barangan kraf, produk kreatif tempatan, bengkel interaktif, serta aneka juadah makanan. Apabila malam menjelma, ruang festival bertukar bertenaga menerusi persembahan muzik live, gabungan irama elektronik, serta persembahan pencahayaan visual yang memukau.
Antara tarikan utama persembahan pentas yang bakal menggegar festival ini termasuk kemunculan band indie terkemuka tanah air seperti OAG dan Nominos Band. Pentas turut diserikan dengan persembahan teater, Dikir Barat, serta irama instrumen tradisional seperti serunai, gambus, sitar, tabla, keromong dan sape Borneo.
Selain itu, pengunjung bakal disajikan dengan keunikan mashup culture yang menggabungkan adunan muzik DJ bersama alat muzik tradisional tempatan, selain persembahan Gurindam istimewa daripada ASEAN Biduan Award.

Persembahan ‘mashup culture’ oleh Deejay APPLEDOM & JETT
Ketua Pegawai Eksekutif Goodseed Event, Hilli Fahmi menjelaskan bahawa acara ini diwujudkan bagi membawa perspektif baharu terhadap seni warisan agar kekal segar dan relevan mengikut peredaran zaman.
“AKAR//NEXT lahir daripada hasrat untuk membawa akar budaya kita ke ruang yang lebih terbuka dan dekat dengan generasi hari ini. Budaya bukannya sesuatu yang statik atau hanya sekadar lipatan sejarah, sebaliknya ia mampu berkembang menerusi muzik, seni dan teknologi,” katanya.
Beliau menambah, festival ini merupakan projek terbesar yang pernah dikendalikan oleh Goodseed Event dan memerlukan perancangan teliti untuk menyatukan pelbagai elemen komuniti kreatif dalam satu bumbung.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Goodseed Event, Syarafina Shaffi menegaskan aspek pengalaman pengunjung menjadi keutamaan dalam penyusunan atur cara.
“Kami mahu pengunjung meluangkan masa dan menikmati perjalanan festival secara menyeluruh dari siang membawa ke malam. Ibu bapa boleh membawa keluarga beriadah pada waktu siang, manakala peminat muzik dan seni boleh menikmati persembahan yang lebih bertenaga pada sebelah malam,” jelas beliau.
Festival AKAR//NEXT 2026 turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai rakan strategik dan penaja utama. Antaranya termasuk Hotlink selaku Rakan Telco Eksklusif yang dibawakan khas bersama Activation Booth Kempen Geng Bijak Berbajet, Commerce Dot Com (Rakan Strategik CSR), JBS Solution (Rakan Produksi Persembahan), Temerloh Catering (Rakan Katering Rasmi), Jom Printing (Rakan Kelengkapan Kru) serta Pasar Seni sebagai Rakan Lokasi Rasmi.
Orang ramai dan peminat seni tempatan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai susunan acara boleh mengikuti akaun rasmi Instagram dan TikTok di @akarnext atau @goodseed_event.

