Ikuti Kami:

Air Mata & Penyesalan Jadi Inti ‘Ya, Abah Saya Security’, Dedikasi Aliff Syukri Buat Arwah Bapa

Air Mata & Penyesalan Jadi Inti ‘Ya, Abah Saya Security’, Dedikasi Aliff Syukri Buat Arwah Bapa

Dato’ Aliff Syukri berkongsi kisah disebalik filem pendek ‘Ya, Abah Saya Security’ dalam nada penuh sebak selepas selesai tayangan naskhah tersebut bersama media 

PETALING JAYA – Usahawan selebriti popular Dato’ Aliff Syukri menerusi jenama D’Herbs tampil mencipta kelainan pada sambutan Aidilfitri tahun ini dengan mempertaruhkan sebuah filem pendek yang meruntun jiwa berjudul “Ya, Abah Saya Security”.

Berbeza dengan kelaziman iklan raya komersial yang sering memfokuskan kepada jualan produk semata-mata, naskhah terbitan D’Herbs dengan kerjasama Tangerine Pictures ini mengambil pendekatan yang jauh lebih berani dan mendalam.

Ia merupakan sebuah naskhah adaptasi yang mengangkat kisah benar perjalanan hidup usahawan sensasi tersebut bersama arwah bapanya, Allahyarham Kamal Zaman bin Kamaluddin. Di bawah sentuhan magis pengarah Bobby Husaini, karya ini diterjemahkan menjadi sebuah penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat.

Air Mata & Penyesalan Jadi Inti ‘Ya, Abah Saya Security’, Dedikasi Aliff Syukri Buat Arwah Bapa

Sewaktu ditemui pada majlis tayangan perdana naskhah tersebut di GSC, IOI Mall Damansara, Aliff meluahkan bahawa filem pendek ini bukanlah sebuah iklan raya biasa, sebaliknya ia merupakan satu refleksi diri serta dedikasi peribadi yang padat dengan emosi, penyesalan, dan rindu yang tidak berpenghujung terhadap arwah bapanya.

“Ini bukan sekadar iklan raya, tetapi adalah refleksi diri. Saya pernah berada di satu tahap yang terlalu sibuk dengan perniagaan sehingga alpa untuk meluangkan masa berkualiti bersama arwah abah.

Beliau secara terbuka mengakui pernah berada di fasa di mana dirinya terlalu sibuk mengejar empayar perniagaan sehinggakan alpa untuk memperuntukkan masa berkualiti bersama bapanya. Kehilangan bapanya telah menampar realiti hidupnya, membuatkan beliau tersedar akan betapa besarnya pengorbanan seorang bapa yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan demi menjamin masa depannya yang cerah.

“Apabila beliau meninggal dunia, saya baru tersedar betapa besarnya pengorbanan seorang bapa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan demi memastikan saya mempunyai masa depan yang cerah,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana di GSC, IOI Mall Damansara, malam tadi.

Menerusi naskhah ini, Aliff berharap ia mampu mengetuk pintu kesedaran generasi muda agar tidak sesekali malu dengan asal usul keluarga, sebaliknya terus menghargai setiap titisan peluh ibu bapa tanpa mendiskriminasi pekerjaan mereka.

Air Mata & Penyesalan Jadi Inti ‘Ya, Abah Saya Security’, Dedikasi Aliff Syukri Buat Arwah Bapa

Azhan menyifatkan peluang yang diberikan untuk membawa watak sebagai ayah kepada Dato’ Aliff Syukri dalam filem pendek “Ya, Abah Saya Security”  sebagai satu pengalaman yang sama yang pernah dilalui olehnya.

 

Tanggungjawab berat untuk menghidupkan watak Kamal Zaman ini telah digalas dengan cukup berkesan oleh aktor berkaliber, Azhan Rani. Apa yang lebih menyentuh perasaan, Azhan mendedahkan bahawa watak tersebut sangat dekat dengan benak jiwanya kerana beliau sendiri pernah melalui kepahitan pengalaman yang serupa.

Menurut Azhan, bulu romanya terus meremang apabila pengarah menceritakan mengenai jalan cerita naskhah ini, memandangkan arwah bapanya juga pernah membanting tulang sebagai pengawal keselamatan demi menampung kos pengajian tingginya suatu masa dahulu.

Bagi aktor tersebut, lakonannya kali ini bukanlah sekadar menyempurnakan tugas hakiki, sebaliknya ia adalah satu bentuk penghormatan istimewa buat arwah bapanya dan seluruh bapa di luar sana yang berkorban jiwa raga tanpa mengenal erti lelah.

“Melakonkan watak ini bukan sekadar tugas, tetapi satu bentuk penghormatan buat arwah bapa saya dan semua bapa di luar sana yang berkorban tanpa mengenal erti lelah,” ujar Azhan.

Di kerusi pengarah pula, Bobby Husaini menyifatkan naskhah penceritaan yang telus ini sebagai sebuah kejujuran seni yang sangat luar biasa. Dedahnya, kekuatan kisah benar yang dizahirkan oleh Aliff pada awal sesi rakaman telah membuatkan ramai dalam kalangan kru produksi gagal menahan sebak.

Demi memastikan emosinya benar-benar sampai ke lubuk hati penonton, Dato’ Aliff amat menitikberatkan ketepatan setiap elemen penceritaan agar ia memancarkan suasana, nilai kemanusiaan, serta identiti kekeluargaan yang tulen.

“Ya, Abah Saya Security”, berjaya direalisasikan dengan lakonan mantap barisan pelakon terdiri daripada Niezam Zaidi, Megat Sharizal, dan pelakon cilik Mikael Noah, Filem pendek ini pastinya bakal menjadi antara karya raya yang paling diingati pada tahun ini. “Ya, Abah Saya Security” dijadual bakal diluncurkan di semua platform penstriman video pada 12 Mac 2026.

 

Foto: Are-Mint

Loading...