KUALA LUMPUR – Industri perhotelan bukan sekadar menawarkan penginapan dan kemudahan acara, sebaliknya mampu memainkan peranan lebih besar dalam memperkasakan industri kreatif tempatan.
Pendekatan itu diterjemahkan Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) apabila tampil sebagai penyokong utama BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam – Kempen CSR Apresiasi Bakat Seni, yang berlangsung pada 16 November lalu.
Kempen anjuran The Vazz Society itu mengetengahkan tiga penyanyi, Sahri, Pija Yasin dan Fatin Faishal, dalam usaha memberikan ruang kepada mereka memperlihatkan kemampuan vokal, selain mengeratkan hubungan bersama penggiat industri, wakil media dan peminat.

Pengarah Urusan KLIH, Muhammad Zairee Izwan Zahir
Penglibatan KLIH dalam inisiatif berkenaan memperlihatkan bagaimana kerjasama antara sektor korporat dan penggiat seni mampu membuka peluang baharu, khususnya kepada bakat yang masih mempunyai potensi untuk diketengahkan.
Pengarah Urusan KLIH, Muhammad Zairee Izwan Zahir, berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan The Vazz Society bagi menjayakan kempen yang membawa aspirasi menghargai dan memperjuangkan bakat seni tempatan.
Chow Kit, Legasi Sudirman Dan Sejarah Seni
Menariknya, pemilihan KLIH sebagai lokasi BANGKIT turut mempunyai nilai sentimental kerana kedudukannya di Chow Kit, sebuah kawasan yang cukup sinonim dengan sejarah perkembangan dunia hiburan tanah air.
Lokasi berkenaan pernah mencatat detik bersejarah apabila penghibur legenda, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, mengadakan persembahan ikonik pada April 1986 yang menghimpunkan kira-kira 100,000 penonton.
BANGKIT perlihat peranan KLIH dalam menyokong penggiat seni berkualiti.
Selepas empat dekad, semangat menghargai seni dan penghibur tempatan terus diraikan menerusi pendekatan berbeza, termasuk penganjuran kempen CSR seperti BANGKIT.
“Signifikannya, kami di KLIH bersedia bersama-sama menyokong industri seni di negara ini termasuk menjadi lokasi bagi acara yang sesuai,” kata Muhammad Zairee.
Kesediaan itu sekali gus memperlihatkan komitmen KLIH untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem hiburan yang lebih terbuka kepada kerjasama dengan penggiat kreatif dan penganjur acara.
Wajah Baharu KLIH, Lebih Banyak Peluang Kerjasama
Dalam perkembangan berkaitan, KLIH kini melalui pembaharuan konsep perhotelan yang menekankan keselesaan moden, layanan mesra serta identiti Kuala Lumpur yang dekat dengan masyarakat.
Beroperasi di bawah pengurusan Zaques Hotel (M) Sdn. Bhd., hotel yang terletak di Lorong Haji Hussein 2, Chow Kit itu menawarkan kira-kira 356 bilik penginapan untuk pelancong, pengunjung korporat dan keluarga.

Dengan nafas baharu, KLIH sedia jadi hab acara dan kreativiti Kuala Lumpur.
Antara kemudahan yang menjadi tarikan ialah Grand Sudirman Ballroom, dewan acara tanpa tiang yang dilengkapi pencahayaan moden dan ruang fleksibel bagi memenuhi keperluan pelbagai majlis, termasuk persembahan hiburan, persidangan dan acara korporat.
KLIH turut menyediakan empat bilik fungsi, iaitu Saloma I, Saloma II, Saloma III dan Saloma IV, dengan kemudahan audiovisual yang boleh disesuaikan mengikut keperluan penganjuran.
Kedudukannya berhampiran Stesen Monorel Chow Kit, Kampung Baru dan kawasan komersial utama Kuala Lumpur turut memberi kelebihan dari segi akses kepada pengunjung dan penganjur.
Hospitaliti Dan Seni Bergerak Seiring
Bagi KLIH, pembabitan dalam BANGKIT membuktikan bahawa industri hospitaliti mempunyai ruang untuk menyumbang kepada perkembangan seni, bukan hanya menerusi penyediaan tempat, tetapi juga melalui sokongan terhadap program yang mempunyai nilai kemasyarakatan.
Kerjasama seumpama itu turut mewujudkan ruang pertemuan antara artis, wakil industri kreatif, pihak korporat dan peminat, sekali gus membuka potensi kepada hubungan profesional yang lebih luas.
Pada masa sama, usaha menyokong bakat seni tempatan membolehkan KLIH memperkukuh peranannya sebagai lokasi yang meraikan warisan, kreativiti dan kepelbagaian aktiviti masyarakat di ibu negara.
Penganjuran BANGKIT juga memberikan gambaran bahawa inisiatif yang bermula daripada komitmen menghargai bakat mampu menjadi titik pertemuan pelbagai sektor apabila wujud kesediaan untuk bekerjasama.
Daripada kawasan Chow Kit yang menyimpan sejarah kegemilangan Sudirman kepada usaha menghargai bakat seni masa kini, sokongan KLIH terhadap BANGKIT membawa mesej bahawa industri hiburan tempatan akan terus berkembang apabila lebih banyak pihak bersedia membuka ruang dan memberikan peluang.


