Muzik

Soma Angkat Isu Narsisistik Dalam ‘NPD’, Gabung Pemuzik Legenda

Oleh

Soma Angkat Isu Narsisistik Dalam ‘NPD’, Gabung Pemuzik Legenda

KUALA LUMPUR – Tidak mahu muzik sekadar menjadi hiburan, penyanyi dan penulis lirik, Soma tampil dengan single ketiganya berjudul NPD yang mengetengahkan isu kesihatan mental, khususnya gangguan personaliti narsisistik atau Narcissistic Personality Disorder (NPD).

Karya berkenaan membawa mesej kesedaran mengenai kesan gangguan personaliti itu terhadap individu dan masyarakat, selain mengajak pendengar memahami kepentingan sokongan emosi serta empati terhadap mereka yang terkesan.

Lebih istimewa, NPD mendapat sentuhan komposer berpengalaman, Belle Fatah, manakala liriknya dihasilkan sendiri oleh Soma berdasarkan mesej yang mahu disampaikan menerusi lagu berkenaan.

Menurut Soma, penghasilan single itu mempunyai makna peribadi kerana dia percaya muzik mampu menjadi medium untuk membuka perbincangan mengenai isu psikologi yang masih kurang diketengahkan dalam karya tempatan.

“NPD adalah sebuah karya yang sangat dekat dengan hati saya. Isu kesihatan mental terutama gangguan personaliti narsisistik ini sering berlaku dalam masyarakat tetapi jarang dikupas dalam bentuk karya lagu,” katanya.

Soma berharap pendekatan menerusi penulisan lirik dan melodi dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan gangguan berkenaan, khususnya terhadap individu yang berdepan hubungan atau pengalaman yang menjejaskan kesejahteraan emosi mereka.

Baginya, lagu itu bukan bertujuan menghukum mana-mana pihak, sebaliknya mengajak pendengar memahami kepentingan kesedaran, kekuatan diri dan sokongan moral dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Soma Angkat Isu Narsisistik Dalam ‘NPD’, Gabung Pemuzik Legenda

Pemuzik Legenda Beri Sentuhan Istimewa

Pelancaran rasmi NPD berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 12 November lalu, diserikan persembahan langsung Soma yang membawakan empat lagu daripada album Perjalanan, termasuk single terbaharunya.

Persembahan berkenaan turut mendapat sentuhan pemuzik berpengalaman tanah air yang selama ini mempunyai pengaruh besar dalam perkembangan industri muzik tempatan.

Antara yang mengiringi Soma ialah Man Keedal selaku pemain gitar utama, Ujang (gitar kedua), Eddie (bes), Adam Maulana (dram) serta Belle Fatah yang mengendalikan piano.

Gabungan pemuzik daripada latar pengalaman berbeza itu memberikan dimensi tersendiri kepada persembahan Soma, sekali gus memperkukuh identiti muzik yang mahu dibawanya kepada pendengar.

Soma turut mengakui kehadiran pemuzik berpengalaman berkenaan menjadi antara kekuatan utama dalam mempersembahkan karya yang cukup dekat dengan hatinya.

“Ditambah pula dengan sentuhan melodi Belle Fattah dan aura pemuzik hebat seperti Abang Man Keedal, Eddie Def Gab C, Lola XPDC dan Belle sendiri, saya harap lagu ini dapat menyentuh jiwa pendengar,” katanya.

Majlis pelancaran dan sidang media itu turut dihadiri tokoh industri termasuk Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Khadijah Ibrahim; Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez; serta Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia, Datuk Nor Hasnal Hashmi.

Teruskan Legasi Karya S. Atan

Dalam perkembangan berkaitan, NPD melengkapkan rangkaian tiga single Soma selepas Aku Tetap Raya dan Bila Tahmid Bergema, yang diterbitkan susulan pelancaran album EP Perjalanan pada 26 Disember 2024.

Album berkenaan mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana menampilkan karya-karya terakhir komposer tersohor, Allahyarham Datuk S. Atan, yang meninggal dunia pada November 2024.

Peluang merakamkan karya komposer legenda itu menjadi antara pencapaian bermakna dalam perjalanan seni Soma, sekali gus meletakkan dirinya sebagai penyanyi yang diberikan penghormatan menyampaikan antara hasil ciptaan terakhir Allahyarham.

Walaupun NPD tampil dengan tema berbeza daripada karya terdahulu, Soma tetap mengekalkan pendekatan muzik yang menekankan kekuatan melodi, penghayatan serta mesej yang mahu disampaikan kepada pendengar.

Single NPD kini boleh didengari menerusi platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube sejak 12 November lalu.

Menerusi karya terbaharunya, Soma berharap muzik bukan sahaja menjadi ruang ekspresi peribadi, malah dapat membuka perbualan lebih luas mengenai kesihatan mental dan kepentingan memahami pengalaman individu yang terkesan.

, , ,

Verified by MonsterInsights