Konsert

Tiket Laris, Amir Masdi Tambah Satu Malam di Zepp KL!

Oleh

Tiket Laris, Amir Masdi Tambah Satu Malam di Zepp KL!

KUALA LUMPUR – Sambutan hangat peminat terhadap persembahan AM SHOWCASE mendorong penyanyi berbakat besar, Amir Masdi menambah satu lagi tarikh di Zepp Kuala Lumpur, sekali gus membuka peluang kepada mereka yang terlepas mendapatkan tiket bagi persembahan asal.

Jika sebelum ini Amir dijadualkan mengadakan persembahan pada 20 Disember depan, penganjur kini mengumumkan satu lagi persembahan tambahan pada 19 Disember 2026 susulan permintaan yang menggalakkan.

Keputusan itu juga memenuhi hasrat penyanyi berusia 30 tahun berkenaan yang mahu memberikan peluang lebih luas kepada peminat untuk menyaksikan persembahannya secara langsung dalam suasana lebih intim dan eksklusif.

Dianjurkan Ultimate Media dengan kerjasama Backstage Events serta sokongan MenaraNetwork, AM SHOWCASE bakal memperlihatkan sisi berbeza Amir sebagai penyanyi, penghibur dan pengkarya yang semakin matang dalam industri muzik tempatan.

Bagi pelantun lagu Nur Cinta itu, penganjuran persembahan berkenaan bukan sekadar memenuhi jadual kerjaya seni, sebaliknya menjadi ruang untuk meraikan perjalanan muziknya bersama peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

Tiket Laris, Amir Masdi Tambah Satu Malam di Zepp KL!

Amir Mahu Cipta Kenangan Istimewa

Amir berkata, idea menghasilkan AM SHOWCASE tercetus daripada keinginannya untuk membina hubungan lebih dekat dengan peminat menerusi lagu serta kisah yang mempunyai makna tersendiri.

Menurut finalis Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) itu, setiap karya yang dipersembahkan mempunyai cerita dan hubungan emosi berbeza dengan pendengar.

“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri,” katanya sambil menjelaskan bahawa peminat juga mempunyai pengalaman tersendiri yang menghubungkan mereka dengan karya berkenaan.

Justeru, Amir berharap penonton bukan hanya menikmati persembahan vokal dan muzik, tetapi turut membawa pulang pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam.

Malah, penyanyi itu turut memberi bayangan bahawa beberapa elemen baharu sedang dirancang bagi memastikan AM SHOWCASE menawarkan pengalaman berbeza daripada persembahannya sebelum ini.

Persembahan dua malam berkenaan juga disifatkan sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang terus mempercayai bakat dan perkembangan karier seninya.

Tiket Laris, Amir Masdi Tambah Satu Malam di Zepp KL!

Dua Jam, Sekitar 22 Lagu

Sementara itu, Pengarah Projek Ultimate Media, Ekmal Md Nor berkata, keputusan menambah tarikh dibuat bagi memenuhi permintaan peminat yang tidak berpeluang mendapatkan tiket persembahan pada 20 Disember.

Menurutnya, sambutan diterima membuktikan Amir mempunyai kelompok peminat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjalanan seninya.

Penganjur turut merancang persembahan selama kira-kira dua jam dengan hampir 22 lagu popular Amir bakal dipersembahkan sepanjang acara berkenaan.

Ekmal berkata, kekuatan Amir bukan sahaja terletak pada kemampuan vokalnya, malah keupayaan memberikan persembahan bertenaga dan membina hubungan emosi dengan penonton.

Katanya, setiap aspek termasuk susunan muzik, visual serta pengalaman penonton diberikan perhatian bagi memastikan persembahan itu mempunyai identiti tersendiri dan berbeza daripada konsert berskala besar.

Selain kerjasama dengan Backstage Events, pihak penganjur turut menjalin kerjasama strategik bersama Nova Music untuk memperkukuh aspek penerbitan, teknikal dan keseluruhan pengalaman persembahan.

Pemilihan Zepp Kuala Lumpur pula dibuat berdasarkan kesesuaian lokasi berkenaan untuk mewujudkan suasana lebih dekat antara penyanyi dan peminat.

Tiket Laris, Amir Masdi Tambah Satu Malam di Zepp KL!

Tiket Tambahan Mula Dijual

Bagi memenuhi permintaan peminat, jualan tiket persembahan tambahan dibuka mulai 14 November 2026, jam 9.30 malam menerusi platform ILASSO TICKETS.

Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu Premium Seat berharga RM350, Cat 1 RM278, Normal Seat RM228, Cat 2 RM218 dan Cat 3 (berdiri) RM111.

Peminat yang mahukan pengalaman lebih eksklusif turut boleh mendapatkan VIP Box berharga RM6,500 yang mampu memuatkan sehingga 10 orang.

Penambahan tarikh persembahan itu memperlihatkan perkembangan positif buat Amir yang terus membina reputasi sebagai antara penyanyi lelaki generasi baharu dengan kekuatan vokal serta persembahan pentas tersendiri.

Dengan dua tarikh kini ditawarkan, AM SHOWCASE menjadi satu lagi peluang buat Amir membuktikan kemampuannya sebagai penghibur yang bukan sekadar bergantung kepada lagu popular, tetapi turut mempunyai daya tarikan untuk mengumpulkan peminat menerusi persembahan secara langsung.

, , , ,

Verified by MonsterInsights