KUALA LUMPUR — Malaysia bakal diwakili oleh lima figura berpengalaman dari pelbagai cabang industri kreatif tempatan untuk menggalas tanggungjawab sebagai panel juri bagi Eurovision Song Contest Asia 2026.
Barisan juri profesional ini diketuai oleh penerbit muzik dan komposer terkenal, AG Coco, yang bertindak sebagai Ketua Juri. Beliau dibarisi oleh empat lagi tokoh industri iaitu penerbit muzik dan komposer Justin Seow, pengurus acara dan promoter konsert Iman Tang, pengarah iklan dan filem Bobby Husaini, serta Pengarang Berita Kanan Hiburan dan Projek Berita Harian, Shamshul Azree Samshir.
Kepelbagaian latar belakang profesional ini menghimpunkan kepakaran yang merangkumi pelbagai cabang industri muzik dan hiburan, sekaligus membentuk sebuah panel dengan perspektif yang menyeluruh dalam menilai persembahan yang dipertandingkan.
TV3 selaku penyiar rasmi Malaysia akan membawakan malam kemuncak Eurovision Song Contest Asia 2026 ini secara langsung kepada penonton tempatan pada 14 November 2026, jam 9.30 malam menerusi saluran TV3 serta platform penstriman Tonton.
Berdasarkan format pertandingan, setiap negara peserta diwakili oleh lima juri profesional di mana undian mereka menyumbang sebanyak 50 peratus kepada keputusan keseluruhan. Baki 50 peratus lagi ditentukan menerusi undian penonton.
Setiap juri dipertanggungjawabkan untuk menilai keseluruhan persembahan dan aspek artistik bagi setiap penyertaan secara adil, objektif, dan konsisten. Proses penilaian dilaksanakan menerusi sesi tontonan bersama bagi persembahan raptai sebelum malam kemuncak, diikuti dengan penghantaran markah ranking secara dalam talian.
Sebagai Ketua Juri, AG Coco memegang tanggungjawab penting untuk mengemukakan keputusan rasmi undian Malaysia selain bertindak sebagai pemutus seri sekiranya diperlukan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut serta perkembangan terkini mengenai program ini, orang ramai boleh mengikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, X, Threads, dan TikTok menerusi akaun @TV3Malaysia.

