KUALA LUMPUR – Sempena sambutan ulang tahun ke-35 Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, pentas ikonik lokasi hiburan rock terkemuka itu kembali bergema dengan aura luar biasa menerusi sebuah showcase istimewa yang menggabungkan tiga nama besar dalam arena muzik rock tanah air: legenda Wings, kumpulan rock bertenaga Kristal, serta pemuzik virtuoso Muzza’s & The Velvettones.

Persembahan eksklusif pada 9 November lalu berlangsung penuh bertenaga itu menyaksikan peminat membanjiri ruang acara seawal pintu dibuka, membuktikan sokongan padu terhadap muzik rock tempatan yang merentasi generasi.

Tirai persembahan dibuka oleh Muzza’s & The Velvettones yang mempamerkan kehebatan teknikal dan kepelbagaian repertoir mereka. Membawakan 13 buah lagu, persembahan mereka menggabungkan karya asli Muzza seperti The Mystical Egypt, Pinks Have Flown, dan Bangkitkan Derumanmu dengan saduran lagu-lagu klasik rock antarabangsa berprofil tinggi termasuk Knight of Cydonia (Muse), Tom Sawyer (Rush), dan Jump (Van Halen). Sorakan gemuruh turut kedengaran apabila mereka memberikan sentuhan tersendiri menerusi lagu keramat Wings, Taman Rashidah Utama, sebelum menutup set dengan penuh bertenaga melalui Runaway dan Bara Jiwa.

Suasana malam semakin hangat apabila giliran kumpulan Kristal mengambil alih pentas. Dengan susunan sembilan buah lagu yang sarat dengan elemen nostalgia dan rock kapak, Kristal berjaya memukau penonton menerusi lagu-lagu seperti Memburu Impian, Bersalin Kulit, dan Selagi Ada Rindu. Momentum persembahan terus memuncak apabila mereka membawakan lagu-lagu malar segar seperti Keindahan Pantai, Camelia, dan Peronda Jaket Biru, selain menyelitkan lagu klasik Is This Love dan Resam Pak Belalang sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu rancak, Delaila.

Kemuncak acara yang paling dinantikan tiba apabila gergasi rock negara, Wings, melangkah masuk ke pentas dengan penuh karisma. Membuka tirai menerusi lagu Anugerah dan Inspirasi Taming Sari, Wings pantas menguasai keseluruhan dewan dengan vokal lantang serta alunan muzik yang padu.
Sepanjang set 15 lagu tersebut, peminat dibawa mengimbau kegemilangan era rock menerusi deretan lagu hit dan pilihan peminat (cult classics) seperti Sekeping Kertas Bermaruah, Kembalilah, Ingatkan Dia, dan Bernafas Dalam Lumpur. Tenaga di atas pentas tidak sedikit pun kendur apabila Wings terus memacu adrenalin penonton dengan lagu-lagu berat seperti Dubuk Liar, Jumpa Hilang, Awang Trasher, dan Lipas Kudung.

Menjelang penghujung acara, suasana bertukar syahdu dan penuh emosi apabila ribuan suara peminat bergabung menyanyikan lagu-lagu balada ikonik seperti Harapan, Hutan Simpan, dan Sejati, diselang-seli dengan Kuda Tiga Kaki. Sebagai penutup tirai sambutan ulang tahun ke-35 Hard Rock yang penuh bersejarah itu, Wings memilih lagu Biarkan Berlalu, meninggalkan kepuasan mutlak buat seluruh peminat yang hadir.
Showcase berprestij ini bukan sahaja meraikan legasi tiga dekad setengah Hard Rock sebagai nadi hiburan muzik hidup di ibu kota, malah mengukuhkan lagi kedudukan irama rock tempatan sebagai genre yang kekal relevan dan terus bernyawa.

