Sukan

Selangor FC Dan YAKIN Perkenal Inovasi Baharu Bagi Pengurusan Kecederaan Atlet

Oleh

Selangor FC Dan YAKIN Perkenal Inovasi Baharu Bagi Pengurusan Kecederaan Atlet

YAKIN dan Selangor FC memeterai Memorandum Persefahaman (MoU), secara rasmi menjadikan YAKIN sebagai Rakan Stem Sel Rasmi Selangor FC.

 

SELANGOR – Selangor FC terus memperkukuh aspek penjagaan kesihatan pemain apabila menjalin kerjasama strategik bersama Yakin Splendour Sdn Bhd (YAKIN), yang kini dilantik sebagai Rakan Sel Stem Rasmi kelab bagi musim 2026/27.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang menggabungkan kepakaran YAKIN dalam teknologi sel stem mesenkimal tali pusat atau UC-MSC serta perubatan regeneratif dengan persekitaran sukan profesional Selangor FC.

Menurut kenyataan media, kerjasama berkenaan akan memberi tumpuan kepada perkongsian pengetahuan serta penerokaan potensi perubatan regeneratif dalam pengurusan kecederaan sukan dan proses pemulihan atlet.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, berkata kebajikan serta kesihatan jangka panjang pemain sentiasa menjadi antara keutamaan utama kelab.

Beliau berkata, kerjasama bersama YAKIN membuka ruang kepada Selangor FC untuk memperluaskan pemahaman mengenai perubatan regeneratif dan bagaimana inovasi berkenaan berpotensi menyumbang kepada pengurusan kecederaan serta pemulihan pemain.

 

Fokus Pengetahuan, Pendidikan Dan Pemulihan

Menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak akan meneliti peluang kerjasama merangkumi perkongsian pengetahuan, pendidikan, teknologi sel stem, perubatan regeneratif, kecederaan sukan dan proses pemulihan.

Bagaimanapun, sebarang aplikasi penjagaan kesihatan yang terhasil daripada kerjasama berkenaan akan tetap tertakluk kepada penilaian perubatan, keperluan kawal selia serta pemantauan klinikal profesional.

Kerjasama itu juga disifatkan sebagai satu perkembangan signifikan dalam sektor bioteknologi tempatan apabila YAKIN menurut kenyataan tersebut menjadi syarikat sel stem pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menjalinkan kerjasama seumpama itu dengan sebuah kelab bola sepak profesional di peringkat tertinggi.

Selangor FC Dan YAKIN Perkenal Inovasi Baharu Bagi Pengurusan Kecederaan Atlet

YAKIN berbesar hati menjalin kerjasama dengan Selangor FC bagi meningkatkan kesedaran tentang perubatan regeneratif dalam sukan serta memajukan inovasi penjagaan kesihatan di Malaysia.

 

Bukan Sekadar Penajaan Komersial

Pengarah Yakin Splendour Sdn Bhd, Datuk Steven Lai, menyifatkan pelantikan itu sebagai satu pencapaian penting buat syarikat berkenaan.

Menurutnya, kerjasama tersebut bukan sekadar perjanjian korporat, sebaliknya menghubungkan penyelidikan, sains, sukan elit serta masa depan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, kombinasi kepakaran penyelidikan YAKIN bersama persekitaran berprestasi tinggi Selangor FC diharap mampu menyumbang kepada usaha meningkatkan standard penjagaan kesihatan sukan di Malaysia.

Pada masa sama, kedua-dua pihak turut komited meningkatkan pemahaman masyarakat berhubung teknologi sel stem menerusi pendekatan berasaskan ketelusan saintifik serta pematuhan terhadap piawaian etika, agama dan kawal selia.

Selangor FC Mahu Kekal Di Hadapan

Bagi Selangor FC, kerjasama ini memperlihatkan usaha kelab untuk mengadaptasi pendekatan lebih moden dalam aspek kebajikan pemain dan prestasi sukan jangka panjang.

Selain berpotensi meningkatkan kesedaran terhadap peranan perubatan regeneratif dalam bidang sukan, kerjasama itu juga dilihat mampu membuka ruang kepada pembangunan inovasi penjagaan kesihatan dan bioteknologi tempatan.

Pemeteraian MoU berkenaan menandakan permulaan kerjasama antara dua organisasi tempatan yang berkongsi aspirasi dalam bidang kecemerlangan, inovasi serta pembangunan negara.

, , , , ,

Verified by MonsterInsights