Sudip Berpadu Mikrofon! Karok Dapur Bawa Format Realiti Paling Unik Menerusi Gabungan Makanan & Muzik
- oleh Editor MYBUZZ
- 23 Sep 2026 1:43 pm
KUALA LUMPUR – Industri hiburan tanah air bakal dihangatkan dengan kehadiran sebuah program realiti baharu yang menyatukan dua elemen kegemaran rakyat Malaysia iaitu makanan dan muzik menerusi rancangan Karok Dapur.
Program bersiri lapan episod terbitan TV3 dengan kerjasama syarikat pengeluar rempah ratus terkemuka, BABA’S, ini dijadualkan menemui penonton bermula 27 September hingga 15 November 2026, pada setiap hari Ahad jam 7.30 malam di TV3 dan Tonton.
Format Konsep ‘1 lawan 1’ & Hadiah Luar Biasa
Karok Dapur menampilkan konsep pertandingan sengit antara dua selebriti popular (Karok Star) secara ‘1 lawan 1’. Para peserta dikehendaki menyempurnakan cabaran menyediakan dua jenis hidangan sambil menyanyi secara serentak mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
Pemenang mingguan bakal membawa pulang wang tunai RM2,000, hamper eksklusif BABA’S serta trofi. Berdasarkan format pusingan kalah mati (king of the hill), dua peserta dengan julangan kemenangan episod terbanyak akan berentap di Episod 8 (Finale) bagi merebut gelaran Juara Keseluruhan bernilai RM10,000, hamper BABA’S dan trofi utama.

Barisan hos dan juri program hiburan realiti ‘Karok Dapur’ bersama penaja utama BABA’S.
Gandingan Pengacara & Barisan Juri Mantap
Bagi memeriahkan suasana studio, pelakon dan ikon gaya hidup, Rozita Che Wan (Che Ta) dipertanggungjawabkan menggalas tugas sebagai pengacara. Manakala sesi penilaian pula diserahkan kepada dua juri berkaliber iaitu cef selebriti tempatan, Dato’ Chef Ismail selaku Juri Kuliner, serta penyanyi popular Haqiem Rusli yang bertindak sebagai Juri Vokal.
Tiga Cabaran Mencabar Kreativiti & Vokal
Setiap episod bakal menguji ketahanan dan kreativiti para peserta menerusi tiga segmen utama yang memanfaatkan produk keluaran BABA’S:
- Cabaran 1 (Pembuka Selera / Pencuci Mulut): Peserta wajib memilih Mystery Box tanpa mengetahui isinya sebagai kekangan fizikal sepanjang penyediaan hidangan. Produk seperti Campuran Kesari BABA’S, Tepung Beras BABA’S, dan Campuran Kuih Ghee BABA’S digunakan dalam segmen ini.
- Cabaran 2 (Hidangan Utama & Karok Roulette): Sambil menyiapkan masakan menggunakan hero product seperti Serbuk Kunyit, Serbuk Kari Daging, Serbuk Kurma, dan Rempah Sup BABA’S, peserta perlu memutar Karok Roulette dan mendendangkan lagu mengikut genre secara serentak.
- Cabaran 3 (The Menu Pitch – Freestyle Rap): Sebelum sesi penilaian juri, rentak hip-hop dimainkan di studio di mana peserta diberikan masa 60 saat untuk melakukan freestyle rap bagi mempertahankan hidangan mereka.

Joey Daud, Ara Johari, Syamel & Sufian Suhaimi antara peserta yang bakal berentap dalam program ‘Karok Dapur’ TV3, bermula 27 September ini.
Barisan Selebriti ‘Karok Star’ Bertaraf Bintang
Saingan mingguan disingkap menerusi pertarungan Ryan Bakery menentang Ara Johari pada Episod 1. Pentas Karok Dapur seterusnya bakal diserikan oleh pencabar terkemuka seperti Joey Daud (Episod 2), Syamel (Episod 3), Sufian Suhaimi (Episod 4), Zulin Aziz (Episod 5), Sarah Suhairi (Episod 6), dan Nadia Brian (Episod 7) sebelum pertarungan akhir di Episod 8.
Terdahulu, satu majlis sidang media khas rancangan berkenaan telah diadakan di Banglo 289 pada 21 September 2026 bersama penaja utama BABA’S serta barisan personaliti rancangan. Penonton boleh menyaksikan ragam dan bakat selebriti tempatan ini di Karok Dapur setiap Ahad, jam 7.30 malam di TV3 atau menerusi penstriman langsung di aplikasi Tonton.
