Persidangan ASEAN ISO SPA UNION: Malaysia-China Teroka Pelaburan Trilion Dolar dan Mandat Penubuhan Perikatan Spa Asia
- oleh Editor MYBUZZ
- 21 Sep 2026 6:36 pm
KUALA LUMPUR – Yayasan Legasi Global IPEC (IPEC Global Legacy Foundation) menerusi inisiatif NGO-Connect telah menganjurkan majlis jaringan 2026 ASEAN ISO SPA UNION Pro Tem Coalition Networking di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur hari ini. Berteraskan visi “The Journey Begins: ASEAN SPA 2030”, perhimpunan serantau ini bertindak sebagai platform utama untuk menyatukan ekosistem spa dan kesihatan (wellness) serta membina koridor pertumbuhan baharu antara rantau ASEAN dan China.

Pengerusi Penganjur merangkap Pengasas dan Pengarah Yayasan Legasi Global IPEC, Dr. Juliana Lim, menegaskan bahawa program ini menandakan bermulanya pelan hala tuju empat tahun menuju tahun 2030 bagi mentransformasikan industri spa dan kesihatan serantau. Majlis ini berjaya menghimpunkan kira-kira 25 orang delegasi dari China bersama wakil-wakil persatuan perdagangan dan industri dari Vietnam (seperti persatuan VMBIZ), Thailand, Indonesia, dan Malaysia.
Menurut Dr. Juliana, penglibatan aktif negara rakan strategik seperti China amat penting dalam memperkasakan tiga teras utama: pengukuhan kerjasama ASEAN-China, pembangunan pasaran pelancongan spa dan pelaburan, serta pemantapan piawaian kualiti dan jaminan kompetensi profesionalisme.
Di samping itu, Dr. Juliana turut menyorot integrasi agenda Ekonomi Biru (Blue Economy) global yang disokong oleh Bank Dunia, di mana sektor spa dan kesihatan memainkan peranan penting dalam menyokong pelancongan mampan (Blue Tourism) di pesisir pantai dan pulau-pulau. Beliau menekankan bahawa usaha ini turut memberi impak sosial dengan memperkasakan komuniti setempat menerusi pengetengahan produk dan rekaan warisan akar rumput seperti kraftangan dari Kota Marudu, Sabah ke platform antarabangsa bagi merebut pasaran global bernilai trilion dolar.

Sementara itu, Pengerusi Protem ASEAN ISO SPA UNION, Dr. Barath Malla Naidu, dalam ucapan beliau menegaskan bahawa sektor spa dan kesihatan kini telah berkembang jauh merentasi persepsi tradisional yang sekadar dikaitkan dengan relaksasi dan penjagaan peribadi. Menurut beliau, industri ini kini menjadi sebahagian daripada ekosistem yang lebih luas merangkumi pelancongan kesihatan, kesihatan pencegahan, rehabilitasi, penuaan sihat, hospitaliti, perkhidmatan profesional, keusahawanan, serta pembangunan modal insan. Dr. Barath turut menambah bahawa rantau ASEAN mempunyai kekayaan ilmu penyembuhan tradisional dan terapi semula jadi yang unik di mana setiap negara menyumbang kekuatan tersendiri kepada ekosistem serantau.

Menyokong sentimen kerjasama serantau, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Asian International Bathing SPA Alliance, Encik Zhang JinZhong, menyifatkan pasaran perikatan ini mempunyai potensi dan keaktifan yang amat luas serta sedang berdepan peluang pembangunan yang kukuh. Beliau menekankan pentingnya pembinaan piawaian bersama, tapak latihan, serta pemupukan bakat profesionalisme bagi menangani cabaran industri. Beliau turut menyeru agar usahawan terkemuka dari China datang melabur di Malaysia dan begitu juga sebaliknya pengamal industri Malaysia melabur di China, sambil memetik kenyataan pemimpin Kementerian Perdagangan China bahawa “Malaysia merupakan sahabat terbaik bagi China” dan pelaburan di Malaysia adalah satu peluang yang amat baik.

Acara kemuncak majlis menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara IPEC Foundation dan Asian International Bathing SPA Alliance. Majlis tersebut turut meraikan pengumuman rasmi pelantikan Dr. Leon Chuah sebagai Wakil ASEAN serta Pemberian Mandat Penubuhan oleh Jawatankuasa Penganjur Perikatan Spa dan Mandian Antarabangsa Asia (Asian International Bathing SPA Alliance).

Di samping itu, Dr. Leon Chuah turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Standard Industri bagi Persijilan ISO/IEC 17024 Profesional Spa dan Kesihatan oleh IPEC Bureau bagi memacu piawaian perkhidmatan ke peringkat antarabangsa.
