iQIYI Bakal Hiasi Skrin Melalui Drama “Sekali Lagi, Bahagia”: Angkat Isu Suami Toksik, Stigma Ibu Tunggal & Peluang Kedua
- oleh Editor MYBUZZ
- 15 Sep 2026 8:07 pm
KUALA LUMPUR — Platform penstriman iQIYI dengan kerjasama syarikat produksi Orange Tree bakal memulakan tayangan drama keluarga dan romantik terbaharu, Sekali Lagi, Bahagia mulai minggu hadapan. Drama 12 episod arahan Jamal Khan ini dijangka menyentuh emosi serta mencetuskan perdebatan penonton menerusi paparan isu realiti masyarakat seperti hubungan toksik, perceraian, stigma ibu tunggal, perebutan hak penjagaan anak dan trauma keibubapaan.
Drama ini menampilkan gandingan tiga pelakon utama iaitu Zara Zya sebagai Ekin, Izzue Islam sebagai Remy, dan MK K-Clique sebagai Han. Sekali Lagi, Bahagia memaparkan perjalanan Ekin, seorang suri rumah yang terpaksa bermula dari kosong selepas sumber kewangannya disekat. Dia bangkit membina semula maruah, identiti dan kehidupannya sebagai usahawan berdikari selepas terperangkap dalam perkahwinan toksik bersama bekas suaminya, Remy. Kehadiran Han, seorang lelaki lebih muda yang membawa sifat ‘green flag’, memberi peluang cinta kedua buat Ekin.

Turut memantapkan penceritaan naskhah ini adalah barisan pelakon pembantu hebat yang hadir pada majlis sidang media pelancaran drama berkenaan, antaranya Dayang Areeda, Afieq Shazwan, dan Datin Seri Noniswara, yang masing-masing turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan dinamik konflik kekeluargaan dan emosi dalam drama ini.

Pengarah drama, Jamal Khan menegaskan bahawa naskhah ini bukan sekadar kisah cinta tiga segi atau konflik kekeluargaan biasa.
“Sekali Lagi, Bahagia bukan sekadar kisah mencari cinta baharu, tetapi tentang manusia yang melakukan kesilapan dan bagaimana mereka memilih untuk belajar serta memperbaikinya,” jelas Jamal Khan.
Beliau turut menambah bahawa walaupun menyentuh isu berat, drama ini tetap menerapkan elemen cinta, humor dan sisi kemanusiaan supaya ceritanya lebih dekat dengan penonton.
Pelakon utama, Zara Zya yang memegang watak Ekin, berkongsi pandangannya tentang cabaran membawakan karakter wanita yang bangkit daripada trauma:
“Secara peribadi cabaran sebagai Ekin adalah memastikan setiap perubahan terasa natural dan bersebab. Ekin tidak tiba-tiba menjadi wanita yang kuat, sebaliknya dia melalui pelbagai pengalaman yang mengubah cara dia melihat dirinya sebagai seorang isteri, ibu dan wanita yang berhak menentukan kehidupannya sendiri,” kata Zara Zya.
Sementara itu, MK K-Clique yang memegang watak Han, mengakui cabaran membawakan watak lelaki ‘green flag’ di dalam skrin:
“Saya mengambil pendekatan melakukan semuanya secara jujur dan ikhlas supaya semuanya nampak natural di layar,” ujar MK K-Clique.
Dalam pada itu, Izzue Islam yang memegang watak Remy selaku antagonis atau lelaki ‘red flag’, memaklumkan bahawa beliau melakukan kajian karakter yang mendalam bagi memastikan perwatakan Remy disampaikan dengan berkesan dan natural di mata penonton.
Menambah kemeriahan pelancaran drama ini, jenama Mentos Yes To Fresh turut tampil sebagai penaja dan rakan kolaborasi kempen bersama iQIYI dalam menyokong kandungan tempatan. Saksikan kisah perjuangan, emosi, dan peluang kedua Ekin menerusi Sekali Lagi, Bahagia bermula minggu hadapan, eksklusif di iQIYI.
