Raydiates Sasar Perkukuh Ekosistem Usahawan Tempatan Melalui AMFF 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 9 Sep 2026 3:14 pm
Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF 2026) akan berlangsung selama enam hari bermula 11 September ini di Taman Tasik Titiwangsa bersempena sambutan Hari Malaysia.
KUALA LUMPUR – Syarikat pengurusan acara, Raydiates Blue Sdn Bhd (Raydiates) komited memperkukuh ekosistem usahawan tempatan menerusi penganjuran berskala besar Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026.
Bakal berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa bermula 11 hingga 16 September ini, acara yang mendapat kerjasama strategik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini membawa tema ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’ sempena sambutan Hari Malaysia.
Pengarah Urusan Raydiates, Rayme Zainal berkata, festival selama enam hari itu bertindak sebagai serampang dua mata iaitu merancakkan pelancongan domestik di samping menyediakan platform komersial buat peniaga tempatan meluaskan capaian pasaran pelanggan dari dalam mahupun luar negara.
Bagi merealisasikan objektif tersebut, lebih 80 vendor merangkumi pelbagai sektor perniagaan akan mengambil bahagian di lokasi pertama ini, sekali gus menjadikannya medan strategik untuk mempromosikan produk jenama tempatan.
“Jika sebelum ini AMFF lebih dikenali sebagai festival makanan, edisi kali ini diperluas mencakupi segmen seni budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup serta kecergasan,” katanya pada sidang media AMFF 2026 X Festival Budaya Malaysia di sini, semalam.
Kawal Harga, Hapuskan Stigma ‘Harga Kayangan’
Menyedari sentimen pengguna terhadap harga jualan di festival makanan yang sering dilabel terlalu mahal, Raydiates mengambil langkah proaktif dengan campur tangan dalam perletakan harga produk. Rayme menjelaskan, pihaknya telah mengadakan perbincangan khusus bersama kesemua vendor yang terlibat bagi memastikan harga makanan yang ditawarkan selari dengan kemampuan semasa pengunjung.
“Sebagai penganjur, kita kena tengok keadaan ekonomi sekarang. Semua orang ada perbelanjaan masing-masing, jadi harga yang ditawarkan perlulah sesuai. Kita sudah bercakap dengan vendor, jangan terlalu mahal sebab kalau terlalu mahal, orang tidak beli,” tegasnya.
Bagi merancakkan kuasa beli, pihak penganjur menggalakkan peniaga menyediakan pakej keluarga bersesuaian, di samping menawarkan kejutan promosi jualan makanan pada harga serendah RM2.

Penganjur Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 merangkap Pengarah Urusan Raydiates, Rayme Zainal
Gandakan ‘Footfall’ Melalui Rakan Strategik
Bagi memastikan pulangan pelaburan vendor terjamin menerusi kehadiran pengunjung yang tinggi, AMFF 2026 menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik utama seperti SimplySiti dan Anytime Fitness.
Strategi ini dilihat berjaya menarik kepelbagaian demografi menerusi pelbagai acara termasuk program SimplyFit Zumba Malaysia Day, acara senaman hip hop, serta Malam Kita Malaysia yang menampilkan mini konsert Ambang Hari Malaysia pada 15 September.
Berbekalkan rekod penganjuran cemerlang edisi 2025 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil yang menarik lebih 10,000 pengunjung, pihak penganjur optimis AMFF 2026 mampu memberikan lonjakan pendapatan kepada peniaga.
Ekosistem perniagaan ini dijangka mencapai kemuncaknya apabila AMFF 2026 meneruskan siri jelajah berskala mega di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula 9 hingga 11 Oktober kelak bersempena Mysihat Expo 2026.
Acara di MAEPS itu dijangka bakal menghimpunkan sekitar 600 vendor dari pelbagai bidang termasuk kesihatan, kecergasan, dan hiburan, menjadikan ia antara hab jualan produk tempatan terbesar anjuran Raydiates pada tahun ini.
