‘Cukup Sudah Cukup’ Buka Pintu Indonesia, Mila Jirin Atur Langkah Ke Jakarta & Bandung
- oleh Editor MYBUZZ
- 4 Sep 2026 4:37 pm
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan usahawan tempatan, Mila Jirin, terus melangkah berani dalam fasa baharu kerjaya muziknya apabila single terbaharu bertajuk Cukup Sudah Cukup mula mendapat perhatian stesen radio Indonesia sebelum sempat dipromosikan menerusi kempen skala besar di tanah air.
Lagu berkenaan kini dilaporkan mula diputarkan di stesen radio terkemuka republik itu termasuk Gen FM dan Prambors FM, sekali gus memberikan petanda positif buat strateginya menembusi pasaran serantau.
Jelajah Radio Jakarta & Bandung Oktober Ini
Bagi mengukuhkan momentum berkenaan, Mila dijadualkan memulakan siri jelajah radio secara bersemuka di Jakarta dan Bandung pada Oktober ini. Kunjungan tersebut bakal menjadi medan pengenalan diri serta ruang mesra untuk beliau mendekati pihak media dan peminat di sana.
“Saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan lagu ini mula dimainkan di stesen radio Indonesia. Perjalanan saya di sana masih terlalu awal dan ramai mungkin belum mengenali siapa Mila Jirin. Apabila lagu dan suara saya diberikan ruang terlebih dahulu, ia satu permulaan yang sangat bermakna,” ujar Mila.
Melengkapkan pelancaran single berkenaan, muzik video rasmi Cukup Sudah Cukup yang menjalani penggambaran penuh di Jakarta di bawah arahan Wahyu Taufani Prialangga turut mula menemui penonton di saluran YouTube Nova Music Videos mulai hari ini.
Sentuhan Tenaga Kreatif Indonesia
Naskhah Cukup Sudah Cukup memperlihatkan kolaborasi rentas sempadan di mana lagunya dicipta oleh komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala lirik dihasilkan oleh Aisah Rizky. Keseluruhan proses rakaman vokal, susunan muzik, sehingga adunan akhir dilakukan sepenuhnya di Jakarta.
Menurut Mila, fokus utamanya menembusi pasaran seberang bukan untuk menjual reputasi yang dibina di Malaysia, sebaliknya mahu peminat di sana menilai bakat serta mutu muzik yang dibawakannya secara organik.

Mukadimah Ke Album Baharu Hujung Tahun
Single Cukup Sudah Cukup merupakan lagu kedua selepas Tersimpan Dalam Hati yang bakal dimuatkan dalam album baharunya yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini.
Tegas Juara Akademi Fantasia Musim 5 itu, perancangan melebarkan sayap ke negara jiran tidak bermakna beliau membelakangkan pasaran tempatan, sebaliknya mahu membawa karya muzik Malaysia ke ruang serantau yang lebih luas.
