Ikuti Kami:

Panggung Sari Istana Budaya Sambut Epik Agung ‘Mansur & Liu’ September Ini

Panggung Sari Istana Budaya Sambut Epik Agung ‘Mansur & Liu’ September Ini

KUALA LUMPUR – Balairung seni paling berprestij tanah air, Panggung Sari, Istana Budaya, bakal menyaksikan detik bersejarah apabila naskhah teater muzikal berskala besar, Teater Muzikal Mansur & Liu, dipentaskan secara rasmi bermula 10 hingga 20 September 2026.

Diangkat daripada kitab teragung Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), karya ini menyingkap kembali episod legendaris pertemuan antara Sultan Mansur Shah dari Kesultanan Melayu Melaka dengan Puteri Liu dari Dinasti Ming. Lebih daripada sekadar kisah cinta, pementasan ini mengetengahkan kebijaksanaan diplomasi, kemuliaan maruah bangsa, serta keakraban dua empayar besar yang dihubungkan menerusi jambatan budaya.

Pementasan berprestij ini merupakan terbitan bersama syarikat Roman Abadi (diterajui Dato’ M. Nasir dan Datin Marlia Musa) serta Icon Entertainment.

Panggung Sari Istana Budaya Sambut Epik Agung ‘Mansur & Liu’ September Ini

M. Nasir kembali dengan karya agung, hidupkan semula legasi Kesultanan Melaka. – Barisan pelakon, penerbit serta pengarah Teater Muzikal ‘Mansur & Liu’.

 

Debut M. Nasir Sebagai Pengarah Teater, Gubah Lebih 30 Lagu Asli

Paling mencuri tumpuan, pementasan ini menandakan julung kalinya maestro seni tanah air, Dato’ M. Nasir, menggalas tanggungjawab sebagai pengarah teater (sutradara). Beliau turut bertindak sebagai penggubah muzik yang menterjemahkan jiwa penceritaan menerusi lebih 30 buah lagu dan skor muzik asli.

Suntikan muzik terbaharu ini mengadunkan kehalusan lenggok tradisi Melayu bersama susunan orkestra kontemporari yang memukau.

Menurut wakil Icon Entertainment, Iman Tang, pementasan ini direka khas untuk membawa penonton merentasi batas masa menerusi gabungan pencahayaan, susunan bunyi, seni tari, rekaan busana, serta teknologi pentas moden.

“Lebih daripada sebuah pementasan, Mansur & Liu merupakan pengalaman yang mengundang khalayak menyeberangi batas masa. Mansur & Liu juga bukan cinta semata-mata yang menjadi paksi cerita, tetapi tersirat hikmah tentang maruah sebuah bangsa, kebesaran sebuah kerajaan, serta persahabatan antara dua tamadun besar,” ujar Iman Tang.

Pementasan ini juga berhasrat menjadi ikon seni persembahan negara seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bagi mempromosikan warisan Melayu di mata dunia.

Panggung Sari Istana Budaya Sambut Epik Agung ‘Mansur & Liu’ September Ini

Alif Aziz & Melinda Dadew terajui Teater Muzikal Epik ‘Mansur & Liu’.

 

Alif Aziz Galas Watak Sultan Mansur Shah, Dibantu Barisan Bintang Ternama

Bagi menghidupkan watak utama, pihak penerbit sepakat menyerahkan tanggungjawab menggalas watak Sultan Mansur Shah kepada penyanyi dan pelakon Alif Aziz, manakala peribadi Puteri Liu dihidupkan oleh bakat hebat, Melinda Dadew.

Pementasan ini turut dimeriahkan dengan penglibatan barisan pelakon dan penyanyi ternama tanah air yang membawa watak pembesar, tentera, dayang, serta inang istana: Amerul Affendi Sherry Alhadad Hazama Taqim Zaki Brian Chan Fadhli Masoot Anas Ridzuan Arena Wan Ruzana Ibrahim Fiza Thomas Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.

Panggung Sari Istana Budaya Sambut Epik Agung ‘Mansur & Liu’ September Ini

Harga dan pelan kedudukan tempat duduk Teater Muzikal Epik ‘Mansur & Liu’.

 

Info Pembelian Tiket & Harga

Jualan tiket secara rasmi bakal dibuka bermula Isnin, 10 Ogos 2026, jam 3.00 petang menerusi platform atas talian https://www.ticket2u.com.my/MansurdanLiu. Berikut adalah pecahan kategori dan harga tiket yang ditawarkan:

  • Balairung Utama (Stalls): RM368, RM388, & RM408
  • Anjung Bendahara (Grand Circle): RM268 & RM308
  • Anjung Rakyat (Upper Circle): RM88 & RM128.

Para peminat teater dan seni tanah air disarankan untuk mendapatkan tiket awal bagi tidak melepaskan peluang menyaksikan kemegahan sejarah Melayu yang diabadikan di atas pentas Istana Budaya.

Loading...