Isu Kontroversi Peribadi Bukan Penghalang, Pengarah Eyra Rahman Puji Disiplin Aliff Aziz
- oleh Editor MYBUZZ
- 4 Aug 2026 4:52 pm
KUALA LUMPUR – Pelakon sensasi asal Singapura, Aliff Aziz sekali lagi mencetuskan tumpuan peminat seni tanah air apabila tampil memegang watak lelaki berpoligami dan mementingkan diri sendiri menerusi drama terbaharu, Madu Atau Racun.
Naskhah iQIYI Original terbitan MIG Production Sdn. Bhd. ini bakal menemui penonton secara eksklusif bermula 14 Ogos 2026.

Gandingan Mantap Pelakon Sensasi
Menerusi drama 12 episod arahan pengarah berprolifik Eyra Rahman ini, Aliff memegang watak utama sebagai Adli, seorang ahli perniagaan berpengaruh. Konflik bermula apabila Adli membuat keputusan untuk berkahwin buat kali kedua walaupun isterinya, Azura (lakonan Uqasha Senrose), seorang wanita penyabar yang masih belum dikurniakan cahaya mata.
Kehadiran isteri kedua bernama Nikita (diwarnai oleh Elisya Sandha) yang berani dan penuh misteri akhirnya memaksa kedua-dua wanita tersebut tinggal sebumbung, bertepatan dengan tagline drama berkenaan, Satu Rumah. Dua Isteri.
Namun, persaingan dan sifat cemburu antara Azura dan Nikita perlahan-lahan bertukar menjadi persefahaman apabila mereka menyedari musuh sebenar bukanlah sesama mereka, sebaliknya suami yang memanipulasi kehidupan mereka berdua.

Pengarah Puji Disiplin Aliff Aziz
Mengulas mengenai pemilihan Aliff Aziz memegang watak utama yang curang dan berpoligami, pengarah Eyra Rahman menegaskan bahawa persepsi khalayak terhadap kontroversi peribadi pelakon itu tidak mempengaruhi keputusan kreatifnya.
Sebaliknya, Eyra lebih mengutamakan bakat, komitmen serta disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh Aliff sepanjang penggambaran. “Saya melihat sendiri bagaimana dia memberikan komitmen sepenuhnya terhadap watak yang diamanahkan.
Bagi saya, Aliff seorang pelakon yang sangat berbakat dan mempunyai kelebihan semula jadi dalam lakonan.
“Dia juga sangat komited dan berdedikasi. Dia benar-benar menghayati wataknya dan saya sangat berpuas hati dengan cara dia bekerja. Dari segi disiplin juga, dia menunjukkan sikap yang sangat baik sepanjang penggambaran,” kata Eyra.
Tambah Eyra lagi, walaupun tema poligami dan rumah tangga sering diangkat dalam drama tempatan, setiap karya tetap mempunyai jiwa dan keunikan tersendiri menerusi tafsiran watak daripada para pelakon.

Cabaran Buat Elisya Sandha, Misi iQIYI
Dalam pada itu, Elisya Sandha mengakui tertarik membawa watak Nikita kerana kepelbagaian emosi serta trauma yang menyelubungi karakter tersebut.
“She’s not just a villain (dia bukan sahaja jahat). Dia seorang wanita yang penuh dengan trauma dan emosi yang tak terungkai. Sebagai pelakon saya suka cabar diri dengan watak yang ada banyak layer macam ini,” ujar Elisya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam menjelaskan bahawa Madu Atau Racun bertujuan membawakan jalan cerita yang melangkaui tema biasa poligami untuk menguji persepsi penonton serta mengetengahkan kekuatan ikatan antara wanita.
- Info Drama: ‘Madu Atau Racun’
- Judul: Madu Atau Racun
- Tagline: Satu Rumah. Dua Isteri
- Platform: iQIYI Original (Terbitan MIG Production Sdn. Bhd.)
- Tarikh Tayangan: Bermula 14 Ogos 2026
- Jadual Siaran: Setiap Jumaat & Sabtu, jam 9.00 malam
- Format: 12 Episod
- Pengarah: Eyra Rahman
- Pelakon Utama: Aliff Aziz (Adli), Uqasha Senrose (Azura), Elisya Sandha (Nikita)
