Sebut sahaja Kumpulan 2By2 pasti akan membawa kita mengimbau kembali kemuncak populariti band Pop Melayu sekitar tahun 1996 -2000 yang dianggotai oleh empat anak muda, Zulkefli Majid (Zul), A Halim Mamat (Halim), Neziman Romli (Man) dan Muhammad Faizal Ismail (Faizal) yang pernah popular dengan lagu-lagu hits seperti Kau Mawarku, Pak Pung Pak Mustafe, Tiga Malam dan banyak lagi.
Terkini, dua dari anggota kumpulan tersebut, Zul dan Faizal sedang sibuk menguruskan perniagaan 'Port' makan atau medan selera yang dikenali dengan nama Dangau 2By2 Food Station yang terletak di Kampung Malayu Subang.
Beroperasi sejak Ramadan lalu, medan selera ini kian mendapat perhatian bukan sahaja dari penduduk sekitar malah berjaya menarik perhatian penggemar makanan dari seluruh negara.
Zul dan Faizal yang ditemui sewaktu majlis perasmian rasmi Dangau 2By2 Food Station baru-baru ini memberitahu sebanyak 13 daripada 28 ruang niaga telah beroperasi dengan kapasiti ruang tempat duduk yang mampu diisi lebih 200 pengunjung pada satu satu masa.
“Medan selera ini sebagai satu persediaan dan alternatif bagi menjana pendapatan selepas kita berdepan dengan pandemik seperti sebelum ini.
“Ia juga menawarkan ruangan makan selesa untuk seisi keluarga dengan aneka menu yang dijamin sedap serta pentas karaoke untuk hiburan ringan.
Istimewanya konsep di Dangau 2By2 Food Station selain dari ruang meja makan dan kerusi, pengunjung boleh memilih untuk menikmati makanan dalam keadaan bersila serba santai ala kampung. Terdapat 2 buah dangau atau astaka yang dibina memanjang serta dilengkapi dengan meja makan untuk mereka yang memilih untuk bersila.
Sementara itu 13 premis yang sedang beroperasi pula menyediakan pelbagai pilihan menu makanan istimewa seperti pilihan ikan bakar, aneka makanan barat, lontong kering, bihun sup, sate, masakan kampung, masakan korea, kari kambing dan banyak lagi.
GALERI
Menurut Zul , disini juga turut disediakan pentas hiburan untuk persembahan nyanyian karaoke oleh pengunjung yang hadir sebagai platform untuk beliau mencungkil bakat baharu yang lebih segar.
“Dengan pengalaman yang saya miliki, saya mahu berkongsi peluang dengan mereka yang berbakat untuk mencuba nasib dalam bidang seni,” katanya.
Tambah Zul, pada acara karaoke yang diadakan sempena sambutan Hari Raya lalu, seramai 80 orang mencuba nasib di mana 14 daripadanya telah layak ke pentas akhir.
Dalam perkembangan lain, 2By2 dalam perancangan mengadakan sebuah konsert khas dengan mengumpulkan vokalis wanita yang pernah berduet dengan mereka.
“Kita berhasrat menjemput semua vokali wanita yang pernah berduet bersama kami termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Liza Hanim.
“Kami masih dalam perancangan dan berharap dapat dilaksanakan secepat mungkin namun bergantung kepada jadual artis terbabit,” katanya
Dangau 2By2 Food Station yang beroperasi setiap hari bermula pada jam 6.30 petang hingga 12 tengah malam turut dilengkapi dengan kemudahan surau, tandas serta kawasan letak kenderaan yang luas yang terletak bersebelahan dengan premis ini.
Untuk kesini, orang ramai boleh menggunakan Waze : Dangau Food Station atau terus ke
alamat : Pt 50931, Jalan Resak, Kampung Melayu Subang, 40100 Shah Alam, Selangor
Commentaires