top of page
Writer's pictureMYB

Zul Ariffin Tukar Pesona Hero Aksi Kepada Dukun Komedi Dalam Filem Terbaharu

Pelakon popular Zul Ariffin sekali lagi mengejutkan peminat dengan transformasi terbarunya dalam filem "Don Dukun" yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 31 Oktober ini. Berbeza dengan watak-watak aksi yang sering dibawakannya, kali ini Zul mengambil cabaran baharu sebagai Don Arif, seorang dukun yang aktif di media sosial.


Don Dukun

Malam gala tayangan filem itu berlansung malam tadi di GSC, Mid Valley Mega Mall dan diserikan dengan kehadiran barisan pelakon-pelakon yang menjayakan filem ini serta barisan selebriti dan para peminat filem tempatan.


Filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Productions ini mengisahkan Don Arif, seorang dukun Instafamous yang menggunakan pelbagai cara kreatif untuk menarik perhatian pengikutnya di media sosial. Kisahnya menjadi lebih menarik apabila dia berdepan cabaran untuk membuktikan kehebatannya dalam persaingan dengan bomoh-bomoh lain bagi mendapatkan seorang pelanggan istimewa.


Pengarah Eksekutif Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan bahawa "Don Dukun" membawa pendekatan segar dalam genre komedi seram. Beliau yakin filem ini akan memberi dimensi baharu kepada industri perfileman tempatan, sepertimana kejayaan "Hantu Kak Limah" yang masih memegang rekod kutipan tertinggi dalam kategori komedi seram.


Don Dukun

Di bawah arahan Waan Hafiz, filem ini turut menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Ropie, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan dan Datuk Yusof Haslam. Turut menyerlah adalah penampilan istimewa daripada Sharifah Aryana, Serra Kamal dan beberapa lagi nama besar industri.


Filem Don Dukun mengisahkan cabaran Don Arif yang ingin mewarisi ilmu keramat keluarganya, namun dihalang oleh bapanya sendiri. Konflik bertambah apabila dia terlibat dalam persaingan dengan bomoh-bomoh lain untuk menyelesaikan kes gangguan mistik yang melibatkan seorang anak tiri kepada janda kaya.



Menariknya, filem ini bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia melalui watak-watak dukun dari pelbagai latar belakang.


Bagi yang tidak sabar untuk menyaksikan kelucuan Don Arif, tayangan pratonton akan bermula pada 30 Oktober, sehari sebelum tayangan rasmi. Peminat boleh mengikuti jelajah promosi filem ini di sekitar Lembah Klang dan bahagian Utara pada 1 hingga 3 November untuk bertemu dengan barisan pelakon.


Filem "Don Dukun" dijangka akan membawa pengalaman berbeza kepada penonton dengan gabungan unsur seram dan komedi yang akan membuatkan penonton 'kecut perut, pecah perut' dalam masa yang sama.



Comments


bottom of page