top of page
Writer's pictureMYB

ZEE RAHMAT Sebar Positiviti Menerusi M.O.V.E

Selepas berjaya menganjurkan program realiti pertama secara dalam talian tahun lalu COF LOCKSTAR, syarikat rakaman COF Music dengan bangganya memperkenalkan bintang ciptaan mereka juga juara program itu, Zee Rahmat.


M.O.V.E
Zee Rahmat

Zee Rahmat, 25, atau nama sebenarnya Zainab Rahmat muncul dengan single pertama berjudul M.O.V.E hasil ciptaan Otromen, Pown Hasril dan Nas yang dilancarkan secara rasmi pada 10 Mac lalu.


Menurut Zee, M.O.V.E adalah single pertamanya juga hadiah kemenangan program itu sekaligus memberikan pengalaman baharu buatnya merakamkan lagu di studio. Menariknya, lagu berentak ‘pop dance’ itu turut dihadirkan dengan video muzik rasmi yang dirakam dalam masa sehari.


“Memandangkan lagu ini saya dapat semasa menjadi juara pertandingan COF LOCKSTAR dan perlu menyanyi secara langsung pada waktu itu menyebabkan sesi rakaman menjadi sedikit rumit kerana saya perlu biasakan diri dengan persekitaran yang lain.


“Tapi Alhamdulillah saya dapat selesaikan rakaman dalam masa sehari. Persiapan untuk lagu M.O.V.E agak cepat dan mencabar bagi saya kerana saya perlu menghafal melodi, lirik dan membuat interpretasi lagu dalam masa tiga hari.


“Saya juga ada meminta nasihat guru vokal saya iaitu Amri Zain dan saya turut dibantu kuat oleh komposer dan juga penerbit untuk sama-sama menjadikan lagu M.O.V.E ini sempurna. Untuk muzik video saya hanya dapat membuat kelas menari bersama koreografi saya sebanyak dua kali dan terus buat rakaman muzik video. Alhamdulillah rakaman selesai dalam masa satu hari di Lalaport, Kuala Lumpur. Seharian kami di sana dan semuanya sempurna,” katanya.


Menurut Zee yang berasal dari Johor Bahru, kehadirannya dalam bidang seni bukan sahaja untuk memeriahkan industri muzik tanah air, tapi dia punya cita-cita tinggi agar bakat dimiliki mampu diterima baik.


Dalam masa sama, pastinya Zee mahu memanfaatkan media sosial yang ada sebagai langkah mendekatkan diri dengan peminat sekaligus memperkenalkan lagi lagu M.O.V.E pada khalayak.


“Sebagai artis baharu saya percaya dengan bakat yang saya ada untuk sama-sama belajar dengan artis-artis lain untuk memperjuangkan seni dan bersaing secara sihat. Setiap orang mempunyai kelebihan dan aura yang tersendiri.


“Dari persiapan lagu keluar saya akan sentiasa cuba untuk dilihat lebih aktif di media sosial. Saya perlu lebih mendekatkan diri dan berinteraksi dengan pendengar. Begitu juga untuk buat promosi yang sudah direncanakan oleh pasukan syarikat rakaman, kelab peminat saya, Zilicious dan juga saya sendiri,” katanya.


Sebagai pendatang baharu dalam bidang nyanyian, Zee mengakui banyak perkara perlu dipelajari selain harus mempersiapkan diri dan bersedia dengan apa saja kemungkinan yang bakal berlaku.


Menyedari hakikat melangkah masuk ke dunia glamor memerlukan kekuatan mental dan fizikal, Zee berkata dia sebolehnya mahu bersikap tenang agar dapat mengawal segala keadaan menjadi lebih baik dan tersusun.


“Kita sedia maklum industri hiburan kita banyak yang positif dan juga negatif. Tapi apa yang boleh saya cuba adalah saya perlu selalu persiapkan diri dari segi fizikal dan mental. Apa yang penting saya perlu tenang dan menjaga nama baik keluarga.


“Melihat perjalanan dalam dunia seni ini, saya sudah berkecimpung dalam bidang ini sejak berumur lapan tahun dengan sokongan daripada keluarga dan juga sahabat. Saya akan sentiasa pastikan diri saya untuk sentiasa buat yang terbaik dalam apa juga yang dilakukan.

“Menang dalam pertandingan adalah satu bonus bagi saya tapi di sebalik kemenangan itu adalah kesungguhan, jatuh dan bangun yang perlu saya tempuh. Jadi saya tidak akan sia-siakan bakat dan minat saya dalam muzik dan nyanyian,” katanya.


Single debut Zee Rahmat. M.O.V.E tidak ditujukan khusus kepada orang yang putus cinta sahaja tetapi untuk semua golongan yang pernah ‘down’ dengan perhubungan, ‘toxic friends’, dan ‘haters’

Dalam masa sama, Zee juga percaya kuasa tular memberikan impak besar dalam diri dan kerjaya seseorang terutama dalam bidang seni.


Bagaimanapun, Zee memilih secara semula jadi untuk dikenali kerana yakin kualiti dimiliki lagu M.O.V.E itu dapat menarik perhatian peminat muzik tempatan.


“Bagi saya tular ini memberikan impak yang besar. Tetapi impaknya ada dua kebarangkalian iaitu positif atau negatif. Kalau boleh untuk saya atau lagu saya dikenali, saya lebih memilih secara ‘natural’ tetapi saya pun tidak menolak ‘viral’.


“Cuma apa yang saya harapkan adalah tular yang berimpak positif kepada diri saya sendiri dan juga masyarakat. Untuk pengetahuan, saya menceburi bidang muzik ini adalah untuk menghiburkan orang ramai. Kalau ada perkara yang membawa kepada impak negatif ataupun pergaduhan, saya tidak mahu seperti itu. Tetapi apapun dua-dua saya tidak kisah, saya dan pasukan akan cuba sedaya upaya usahakan.


“Kalau tular itu datang dan memberikan impak positif, Alhamdulillah. Buat masa ini saya tidaklah membuat satu gimik yang di luar kotak tapi lagu M.O.V.E ini saya buat ‘Dance Challenge Move’ yang saya buat untuk hiburan semua,” katanya.


Berkongsi mengenai single M.O.V.E itu, menurut Zee ia mengenai ‘move on’ yang mana ingin menyebarkan kesedaran kepada semua orang tidak kisah lelaki ataupun perempuan untuk berfikir positif dan maju ke hadapan sekiranya kita pernah jatuh dan berada di bawah.


“Lagu ini tidak spesifik kepada orang yang putus cinta sahaja tetapi untuk semua golongan yang pernah ‘down’ dengan perhubungan, ‘toxic friends’, dan ‘haters’ yang penting kita perlu sentiasa ‘move’ dan ‘live our life to the fullest’. Kita perlu ‘enjoy’ dengan apa yang kita ada sebab kita tidak boleh puaskan hati semua orang kecuali diri kita. Sebab itulah lagu ini diberi tajuk M.O.V.E.

“Harapan saya supaya lagu ini dapat memenangi hati pendengar disebabkan lagu ini berbentuk ‘catchy’, ‘pop dance’ dan tajuk lagu ini adalah M.O.V.E. Jadi lagu ini adalah berkaitan dengan perlunya seseorang untuk ‘move on’ terhadap sesuatu.


“Kita juga banyak mengharungi perkara yang kurang baik sebelum ini seperti pandemik, banjir dan bencana alam jadi ‘let’s move to a new face, to a good vibe and to a positif vibe’. Jadi saya mahu semua orang bergembira dan semua orang boleh melihat kesungguhan dengan apa yang saya hasilkan ini. Akhir sekali, saya bersyukur jika saya ada peminat,” katanya.


0 komen

Comments


bottom of page