Buat julung-julung kalinya, 3 pemuzik rock handalan tanah air dari 3 generasi yang berbeza disatukan di atas sebuah pentas buat pertama kalinya menerusi sebuah konsert yang paling ditunggu-tunggu ‘YOLO Live Sessions: 3 Generasi’ dengan membariskan nama-nama besar industri muzik Malaysia seperti Noh Salleh, kumpulan Spider dan band bertaraf legendaris, XPDC, yang dibawakan khas oleh jenama penganjur acara terkenal masa kini, YOLO Malaysia.
Bertempat di dewan konsert serba moden, Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang pada 27 Ogos 2022 mulai jam 8:00 malam, acara tersebut akan menampilkan persembahan bertenaga yang #GerentiRock.
“YOLO Live Sessions adalah sebuah platform acara yang diwujudkan khusus untuk membantu pengkarya muzik kembali beraksi di pentas persembahan ketika dunia dilanda musibah COVID-19.
“Platform tersebut telah pun dikelolakan oleh YOLO Malaysia dengan membawakan beberapa siri acara atas talian yang kenali sebagai YOLO Live Sessions,” kata pengasas YOLO Asia, Ib Harun.
Terdahulu, YOLO Malaysia pernah menganjurkan sebanyak 5 buah konsert dengan jayanya ketika negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19, dan setelah memasuki fasa endemik, mereka rasakan sudah tiba masanya untuk bintang rock kesayangan tanah air diberi penghormatan melalui sebuah persembahan live bertaraf antarabangsa bagi kepuasan peminat.
“Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk menghimpunkan 3 nama besar bintang rock negara yang mewakili 3 generasi berbeza seperti Noh Salleh, yang mewakili generasi muda, kumpulan Spider yang sering berada di carta tertinggi dan legenda rock negara iaitu XPDC”, menurut Haniff Hamzah, Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia.
Konsert YOLO Live Sessions: 3 Generasi ini tidak seperti konsert-konsert yang biasa diadakan kerana bukan 1 tetapi 3 generasi rock yang berbeza bakal dipersembahkan khas buat penonton dan lebih menarik lagi ia lebih memfokuskan untuk ‘kaki rock’ yang sudah lama mendambakan persembahan secara langsung oleh artis serta band kegemaran mereka, selain berpeluang mendekati bintang-bintang rock kesayangan mereka.
“Ramai peminat rock tegar di luar sana yang ternanti-nanti bila agaknya mereka dapat menyaksikan persembahan secara live dan berpeluang untuk sing-along dengan artis kegemaran mereka, kini mereka berpeluang merasainya.
“Pada malam 27 Ogos itu nanti, ketiga-tiga aksi diberikan kebebasan untuk mempersembahkan karya-karya rock mereka mengikut interpretasi tersendiri dengan durasi yang sama,” kata Haniff.
Pemilihan artis serta band adalah berdasarkan permintaan peminat rock masa kini yang rindukan aksi lincah artis kegemaran mereka di atas pentas dan juga pencapaian mereka sepanjang berada di dalam industri Muzik Malaysia.
Menurut Hamka Mohd Taufik, selaku Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, “Noh Salleh, Spider dan XPDC bukanlah nama kecil dalam dunia rock tempatan kerana masing-masing mempunyai pengalaman dan pencapaian yang membanggakan.
“Kesemua mereka adalah ‘otai’ rock dengan pendekatan yang berbeza, masing-masing ada signature mereka tersendiri seperti pengaruh alternatif, ska dan juga metal.
“Jadi gandingan ketiga-tiga pemuzik rock berlainan generasi ini dapat memenuhi pelbagai selera pengunjung nanti, dan pastinya bakal menjadi bualan kelak.
Sebelum ini, YOLO Malaysia banyak menyajikan konsert secara atas talian dengan sambutan yang memberangsangkan, kini, peminat muzik dan khususnya penggemar rock sejati tanah air dapat menghayati dan menghargai secara langsung persembahan secara maksima dengan konsep, lokasi, mutu bunyi dan pentas yang terbaik.
“Setiap pembeli tiket pasti dapat merasai pengalaman yang berbeza apabila berada di dewan konsert ZEPP Kuala Lumpur itu nanti kerana ruangan yang disediakan dilengkapi dengan peralatan moden yang berkualiti tinggi bagi memastikan pengalaman yang maksimal.
“Kami yakin pengunjung akan berpuas hati dan pastinya terhibur dengan persembahan ketika konsert YOLO Live Sessions: 3 Generasi nanti kerana konsep berbeza yang akan kami tampilkan, semoga semua enjoy dan jangan lupa untuk membeli tiket sementara masih ada,” akhiri Haniff.
Tiket-tiket konsert yang dijual berharga pada kategori Rockzone (RM328), Free Standing (RM288), Category A Seating berserta ‘meet & greet’ (RM338), Category B Seating (RM 318) dan SVIP Private Box (RM6,288).
Selain itu, YOLO Malaysia juga sedang dalam perancangan membawakan artis bertaraf antarabangsa ke Malaysia bagi memenuhi selera penggemar muzik masa kini, nantikan pengumuman mereka pada masa akan datang.
Kommentare