Xiaomi telah melancarkan dua peranti flagship terbaru mereka Xiaomi 15 Series - Xiaomi 15 dan Xiaomi 15 Pro di China. Kedua-dua model ini mencatat sejarah sebagai peranti pertama di dunia yang menggunakan cip pemproses terkini Snapdragon 8 Elite, serta menawarkan kemampuan fotografi profesional hasil kerjasama dengan Leica sekaligus menjanjikan prestasi yang lebih berkuasa berbanding generasi terdahulu.
Model asas Xiaomi 15 hadir dengan skrin yang lebih padat berukuran 6.36 inci namun masih mengekalkan teknologi LTPO AMOLED dengan resolusi 1.5K. Ia turut dilengkapi sistem kamera triple 50MP Leica dengan keupayaan rakaman video sehingga 8K.
Model Pro pula tampil dengan rekaan premium berkonsepkan "titik permulaan baharu" yang diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi dengan berat hanya 215g. Skrin LTPO AMOLED 6.73 inci model ini menawarkan resolusi 2K dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan mencecah 3,200 nits untuk paparan yang lebih jelas di bawah cahaya terik.
Keunikan siri 15 terletak pada sistem kamera triplenya yang dibangunkan bersama Leica. Model Pro dilengkapi tiga kamera 50MP dengan sensor IMX858 - kamera utama dengan bukaan f/1.44, telefoto periskop 5x dengan kebolehan zoom optikal 120mm, dan ultra lebar 115°. Sistem Xiaomi AISP turut dipertingkatkan untuk penghasilan gambar yang lebih optimum dalam pelbagai keadaan.
Kedua-dua model disokong oleh memori RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB. Xiaomi 15 Pro dilengkapi bateri 6,100mAh manakala model biasa dengan 5,400mAh, kedua-duanya menyokong pengecasan pantas 90W berwayar dan 50W tanpa wayar.
Peranti ini turut dilengkapi ciri moden seperti Wi-Fi 7, pembesar suara stereo Dolby Atmos, penarafan kalis air IP68, dan sistem operasi terbaru HyperOS 2.0 berasaskan Android 15.
Di China, Xiaomi 15 Pro dijual bermula RMB 5,299 (sekitar RM3,246) untuk varian 12GB+256GB, sementara Xiaomi 15 bermula dari RMB 4,499 (sekitar RM2,756).
Xiaomi 15 Pro
12GB + 256GB – RMB 5299 (~RM 3246)
16GB + 512GB – RMB 5799 (~RM 3553)
16GB + 1TB – RMB 6499 (~RM 3982)
Xiaomi 15
12GB + 256GB – RMB 4499 (~RM 2756)
12GB + 512GB – RMB 4799 (~RM 2940)
16GB + 512GB – RMB 4999 (~RM 3062)
16GB + 1TB – RMB 5499 (~RM 3369)
Dengan gabungan cip pemproses terkini, sistem kamera Leica yang hebat, dan rekaan premium, Xiaomi jelas mensasarkan untuk mengukuhkan kedudukannya dalam segmen peranti flagship melalui siri 15 ini.
Comments