Watsons, jenama kesihatan dan kecantikan No.1 di Asia, telah mencapai satu lagi pencapaian gemilang dengan pembukaan kedai ke-8,000 di Asia. Kedai baharu ini yang terletak di SM Mall of Asia, Manila, menandakan satu lagi batu loncatan penting dalam sejarah peruncit kesihatan dan kecantikan terkemuka ini.
Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Dr. Malina Ngai, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AS Watson. Menurut beliau, pemilihan Filipina untuk kedai ke-8,000 ini adalah berdasarkan potensi pasaran yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara tersebut.
"Filipina merupakan salah satu ekonomi yang paling pesat berkembang di Asia dan pasaran strategik bagi AS Watson. Dengan demografi muda yang semakin memberi tumpuan kepada kesihatan dan kecantikan, ia sejajar dengan kepakaran Watsons," kata Dr. Ngai.
Kedai baharu ini direka dengan teliti untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan melalui susun atur yang luas dan reka bentuk kontemporari. Ia dilengkapi dengan zon Premium Beauty yang mempamerkan jenama eksklusif terkini, penganalisis kulit termaju, dan produk yang disyorkan pakar dermatologi.
Yang menariknya, kedai ini turut menyediakan zon Sustainable Choices yang menawarkan stesen pengisian semula untuk produk Naturals by Watsons terpilih, serta pelbagai produk Clean Beauty untuk menggalakkan gaya hidup lestari.
Menurut Danilo Chiong, Pengarah Urusan Watsons Filipina, Watsons kini mengoperasikan lebih 1,100 kedai di Filipina. "Pencapaian ini membuktikan komitmen kami dalam menyediakan produk dan perkhidmatan kesihatan dan kecantikan yang terbaik, sama ada secara luar talian mahupun dalam talian," ujar beliau.
Di Malaysia, Watsons turut mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan lebih 700 kedai di seluruh negara. Antara pencapaian terbaharu termasuk pembukaan kedai ke-700, kedai mesra alam pertama di Bukit Jalil, perkhidmatan Click & Collect pandu lalu pertama di Johor Bahru, kedai standalone pertama di Rawang dan kedai premium di TRX Exchange Mall.
Watsons yang bermula pada tahun 1841 sebagai sebuah kedai farmasi kecil di Hong Kong, kini telah berkembang menjadi peruncit kesihatan dan kecantikan terkemuka di Asia dengan 8,000 kedai dan lebih 1,500 farmasi di 16 pasaran di Asia, Eropah dan Timur Tengah.
Comments