top of page
Writer's pictureMYB

UNIK: Single Bahasa Melayu Pertama Zubir Khan Catat 95 Ribu Jumlah Tontonan Dalam 10 Hari

Selepas kejayaan pelancaran lagu “OMK (Oh My Kadhale)”, XO House Malaysia dengan bangganya mempersembahkan single terbaru dari penyanyi terkenal, Zubir Khan yang berjudul “UNIK”. Lagu ini, yang dilancarkan pada 30 September 2024, telah mendapat sambutan hangat dengan mencapai 95 ,000 jumlah tontonan di YouTube dalam masa yang singkat.


UNIK
Zubir Khan kembali dengan single bahasa melayu pertamanya - UNIK

“UNIK” merupakan karya yang menggabungkan elemen muzik pop dan urban, serta lirik yang ditulis dalam dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Tamil. Inspirasi di sebalik lagu “UNIK” oleh Zubir Khan datang daripada keinginan untuk meraikan keistimewaan dan keyakinan diri seseorang. Lagu ini menekankan betapa pentingnya untuk menghargai perbezaan dan keunikan individu dalam dunia yang sering kali mahu semua orang menjadi sama.


Zubir Khan, yang sebelum ini dikenali dengan lagu-lagu berbahasa Tamil, ingin mencipta sesuatu yang baru dan berbeza dengan menggabungkan elemen Bahasa Melayu dan Bahasa Tamil dalam satu lagu. Ini bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia, tetapi juga menunjukkan bahawa keunikan dan perbezaan adalah sesuatu yang harus diraikan.


Dalam lirik lagu “UNIK”, Zubir menyampaikan mesej bahawa setiap orang mempunyai ciri khas yang membuat mereka istimewa. Beliau juga berkongsi bahawa kekurangan fizikalnya tidak pernah menjadi penghalang untuk mencapai impian, malah ia menjadi sumber inspirasi untuk terus berkembang dalam bidang muzik



Lagu ini dimulakan dengan kata-kata ringkas “Kau begitu unik,” yang menunjukkan kekaguman terhadap seseorang yang luar biasa. Bait pertama menggambarkan tarikan kuat terhadap individu tersebut, dengan lirik seperti “Sekali pandang pun tak jenuh” dan “Barang panas, tak berpeluh” yang melukiskan gambaran seseorang yang menarik dan sentiasa tenang dalam apa jua keadaan.


Zubir Khan, yang sebelum ini dikenali dengan lagu-lagu berbahasa Tamil, teruja untuk berkongsi kegembiraannya dengan lagu Melayu pertamanya ini.


“Lirik lagu ‘UNIK’ merujuk pada sesuatu yang memiliki ciri khas atau keistimewaan yang membezakan diri dari yang lain. Sesuatu yang unik seperti sifat, karakter, atau bentuk yang tidak biasa dan jarang ditemui,” kata Zubir Khan.


Zubir Khan
UNIK menekankan betapa pentingnya untuk menghargai perbezaan dan keunikan individu dalam dunia yang sering kali mahu semua orang menjadi sama.

Beliau juga menambah, “Saya juga seorang yang unik, seperti yang semua tahu, saya dikenali sebagai penyanyi Melayu yang mampu menyanyi dalam Bahasa Tamil. Saya percaya kekurangan saya ini bukanlah penghalang untuk saya terus berkembang dan belajar dalam bidang nyanyian.”


Pelancaran lagu terbaru “UNIK” oleh Zubir Khan telah memikat pendengar dengan gabungan unik dua bahasa, menawarkan pengalaman muzik yang segar dan menarik. Sambutan positif dan respons penuh semangat daripada rakyat Malaysia telah memberi kepuasan mendalam kepada Zubir Khan.


Dengan pelancaran “UNIK”, Zubir Khan sekali lagi membuktikan bahawa beliau adalah seorang artis yang berani mencuba sesuatu yang baru dan terus berkembang dalam industri muzik. “UNIK” kini boleh didapati di pelbagai platform muzik termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan iTunes.



0 komen

Comments


bottom of page