Ulasan: Zombi Berevolusi & Boleh Berfikir? Filem ‘COLONY’ Bakal Ubah Sejarah Genre Seram!
- oleh Editor MYBUZZ
- 22 May 2026 7:53 pm
KUALA LUMPUR – Industri perfileman seram Korea Selatan (KMovie) sekali lagi mengorak langkah berani menerusi sentuhan magis pengarah tersohor, Yeon Sang-ho. Dikenali sebagai ‘Bapa Zombi Korea’ menerusi karya malar segar seperti Train to Busan dan Peninsula, Yeon kini kembali mempertaruhkan karya terbaharunya berjudul COLONY.
…Plot filem ini secara asasnya berkisar tentang sekumpulan mangsa yang terperangkap di dalam Bangunan Doongwoori di tengah ibu kota Seoul susulan penularan wabak yang tidak diketahui. Apabila pihak berkuasa menutup keseluruhan bangunan tersebut, mangsa yang terperangkap terpaksa berhadapan ancaman jangkitan spesies baharu yang semakin membiak dan dalam masa yang sama cuba merungkai misteri disebalik penularan wabak tersebut.
Kali ini, Yeon Sang-ho tidak sekadar menghidangkan kisah zombi klise yang didorong semata-mata oleh naluri untuk menggigit mangsa. COLONY menjanjikan evolusi bagi genre tersebut dengan memperkenalkan satu spesies baharu: zombi yang mempunyai tahap kesedaran dan boleh berevolusi dengan cara yang tidak dijangka.

Sutradara Yeon Sang-ho
Dalam COLONY, ancaman utama yang dihadapi mangsa bukan lagi sekadar mayat hidup. Zombi dalam filem ini bermula dengan merangkak seperti binatang, sebelum mereka berevolusi secara perlahan-lahan untuk berdiri dan bergerak menggunakan dua kaki. Lebih menakutkan, makhluk ini mula mengecam mangsa yang terselamat dan mampu melancarkan serangan berkumpulan yang diselaraskan.
Watak zombi dalam COLONY tidak lagi digambarkan sebagai makhluk biasa yang memiliki identiti atau keperibadian tersendiri. Sebaliknya, mereka berkembang dan berfikir melalui satu bentuk kesedaran kolektif, seolah-olah menjadi sebahagian daripada satu entiti yang lebih besar. Makhluk ini bertindak seperti sebuah organisma tunggal yang sentiasa berevolusi, di mana setiap perubahan berlaku menerusi proses penerimaan maklumat baharu atau ‘kemas kini’ secara berterusan.

Konsep zombi dalam COLONY dilihat bukan sekadar elemen fiksyen semata-mata, tetapi merupakan manifestasi kepada dunia baharu yang sedang kita hadapi hari ini. Dunia ini menyaksikan bagaimana maklumat disebarkan dengan sangat pantas, sehingga secara perlahan-lahan menghakis keunikan dan individualiti manusia, lalu membentuk satu pemikiran kolektif yang semakin dominan.

Apa yang menarik, Yeon Sang-ho juga bijak mencipta kelainan bagi membezakan watak zombi dalam filem filem arahannya terdahulu. Dalam COLONY, pergerakan mereka digarap dengan gaya yang lebih ngeri dan luar biasa, termasuk aksi memusingkan badan secara tiba-tiba sejurus selepas dijangkiti, menjadikan penampilan zombi ini lebih mengganggu dan sukar diramal. Selain itu, makhluk ini memiliki gerakan ‘signature’ tersendiri, iaitu mendongakkan kepala sambil menggeletar secara serentak, sekali gus mencipta elemen suspens yang kuat kepada penonton.

Filem ini telah menjadi bualan hangat dalam industri antarabangsa dan domestik berikutan keputusan bintang pujaan ramai, Gianna Jun, yang memilih COLONY sebagai naskhah kemunculan semulanya di layar perak selepas 11 tahun berehat. Beliau menggalas watak Profesor Kwon Se-jeong, seorang pakar bioteknologi yang bertindak sebagai ketua kepada kumpulan mangsa yang terselamat.

Selain Gianna Jun, filem seram cemas COLONY turut mengumpulkan barisan pelakon gred-A Korea Selatan yang memperkuatkan lagi tarikan utama naskhah ini. Koo Kyo-hwan memegang watak Dr. Suh Young-chul, seorang ahli biologi genius yang memiliki pemikiran ekstrem dan kepercayaan yang memutarbelitkan. Dialah individu yang bertanggungjawab mencetuskan wabak tersebut, sekali gus menjadi watak antagonis yang kompleks dan sukar diramal.

Ji Chang-wook pula tampil sebagai Choi Hyun-seok, seorang pengawal keselamatan yang terperangkap di dalam bangunan ketika wabak tercetus. Dalam keadaan penuh bahaya, dia sanggup mempertaruhkan nyawa demi melindungi kakak kandungnya yang lumpuh, menjadikan wataknya sebagai simbol kekuatan emosi dan pengorbanan dalam situasi genting.

Sementara itu, Shin Hyun-been membawakan watak Profesor Gong Sul-hee, seorang pakar bioteknologi yang terlibat dalam pasukan penyiasat khas di luar fasiliti yang dijangkiti. Wataknya berperanan penting dalam usaha memahami punca wabak serta mencari jalan penyelesaian, sekali gus menjadi penghubung antara dunia luar dan mangsa yang terperangkap di dalam bangunan.
Melengkapkan lagi barisan pelakon utama, Kim Shin-rock tampil sebagai Choi Hyun-hee, seorang wanita yang kuat walaupun berdepan kekangan fizikal, manakala Go Soo memegang watak Han Kyu-seong yang membawa elemen kemanusiaan dalam naratif ini. Gabungan pelakon berkarisma ini menjadikan COLONY sebuah karya yang bukan sahaja mendebarkan dari segi aksi, tetapi juga kaya dengan emosi dan perkembangan watak.

Bagi peminat filem ‘survival-thriller’ yang sudah tidak sabar menyaksikan pertembungan mendebarkan antara manusia dan zombi intelektual ini, filem COLONY yang berdurasi 122 minit ini kini telah menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula hari ini, 22 Mei 2026. Jangan tak pegi!
