Menara Kuala Lumpur bakal menyaksikan satu lagi rekod baharu dalam dunia sukan ekstrem apabila Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 (KLTITC24) kembali untuk edisi ke-22 dengan cabaran yang lebih mencabar.
Acara yang dinanti-nantikan oleh pelari ekstrem ini akan menguji ketahanan peserta untuk mendaki 1,608 anak tangga hingga ke Pelantar Pemandangan Tertutup pada ketinggian 292 meter, menjadikannya rekod tertinggi dalam sejarah pertandingan ini.
Dengan hadiah wang tunai keseluruhan mencecah RM80,000, pertandingan ini dijangka menarik penyertaan pelari tempatan dan antarabangsa. Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Encik Nazli bin Saad berkata, KLTITC24 membawa erti istimewa kerana ia turut meraikan ulang tahun ke-28 Menara KL.
Para peserta yang berjaya mendaki ke puncak bukan sahaja akan dihadiahkan dengan pemandangan bandaraya yang mengagumkan, malah 100 peserta terbaik dalam setiap enam kategori akan menerima t-shirt FINISHER eksklusif beserta hadiah istimewa daripada penaja.
Bagi yang berminat untuk mencabar diri dalam acara ini, pendaftaran 'early bird' telah dibuka dari 8 hingga 21 November 2024 dengan yuran bermula dari RM90 untuk kategori tempatan dan RM120 untuk peserta antarabangsa. Pendaftaran boleh dibuat melalui portal rasmi https://v2.checkpointspot.asia/event/KL-Tower-Run-24.
Turkish Airlines sekali lagi tampil sebagai penaja utama untuk tahun ketiga berturut-turut, bersama-sama dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia & Sukan, Tourism Malaysia, dan beberapa jenama terkemuka tempatan dan antarabangsa.
KLTITC24 bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi juga platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat sambil memartabatkan Menara KL sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia Tenggara.
Comments