Tonton Original menghadiahkan tontonan istimewa sempena Deepavali dengan filem aksi mistik terbaharu, 'Raja Naga', yang bakal ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman digital Tonton bermula 30 Oktober 2024.
Filem arahan Azizi 'Chunk' Adnan ini menampilkan Sivasanthiran sebagai Raja, seorang rider penghantaran makanan yang hidupnya berubah selepas menemui sebuah motosikal lama yang memiliki kuasa misteri.
Bertemakan 'dari rider ke raja', filem ini memaparkan kisah seorang belia yang berjuang menyara ibunya yang sakit, sebelum takdir membawanya menjadi wira jalanan yang membanteras jenayah.
Bergandingan dengan pelakon berbakat Scha Elinnea yang membawakan watak Sari, filem ini turut menampilkan barisan pelakon mantap seperti Hazama sebagai Johnny, ketua geng yang kejam, serta Thagaraja Victor dan Wanns Ahmad yang menyumbang kepada jalan cerita penuh aksi dan emosi.
"Raja Naga bukan sekadar filem aksi biasa," jelas pengarah Azizi. "Ia mengangkat nilai-nilai universal seperti pengorbanan, kasih sayang terhadap keluarga, dan keberanian menghadapi cabaran hidup, sambil menyelitkan elemen mistik yang menarik."
Dengan gabungan unik elemen thriller, mistik dan budaya tempatan, Raja Naga menjanjikan hiburan segar buat penonton Malaysia. Watak Raja yang gemar bergaya retro 70-an memberi dimensi tersendiri kepada perwatakan superhero tempatan yang jarang-jarang kita lihat di skrin.
"Filem ini membawa mesej bahawa insan biasa boleh menjadi luar biasa dengan peluang kedua dalam hidup," kata Sivasanthiran yang membintangi watak utama. Pemilihan masa tayangan sempena Deepavali juga amat bermakna kerana ia melambangkan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan.
Raja Naga boleh ditonton secara eksklusif di platform Tonton melalui www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store. Penonton juga boleh menikmati filem ini dalam kualiti HD melalui Smart TV.
Comments