Dua nama besar dalam industri muzik tanah air, Tomok dan Siti Nordiana, akhirnya bakal bergabung buat pertama kalinya dalam satu konsert mega yang bakal menggemparkan peminat pada awal tahun hadapan.
Konsert 'Memori Mungkin Berulang' yang akan berlangsung pada 1 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur ini merupakan gabungan dua legenda muzik yang telah mengharungi industri lebih 20 tahun.
Tomok, melalui syarikat produksinya POPSICLE RECORDS, mengambil inisiatif menganjurkan konsert ini dengan hasrat untuk memberikan yang terbaik kepada peminat kedua-dua artis.
"Ini merupakan satu kolaborasi yang ditunggu-tunggu. Kami akan membawakan pelbagai kejutan termasuk lagu-lagu hits kami berdua," ujar Tomok penuh semangat.
Antara kejutan istimewa yang bakal dipersembahkan ialah Tomok akan menyanyikan lagu-lagu duet Siti Nordiana bersama Allahyarham Achik. Lagu-lagu popular seperti 'Memori Berkasih', 'Resipi Berkasih' dan 'Gurauan Berkasih' pasti akan mencuit rasa nostalgia para penonton.
Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana turut berkongsi kegembiraan apabila menerima pelawaan istimewa ini.
"Lagu 'Memori Mungkin Berulang' dipilih sebagai tema konsert kerana ia amat sinonim dengan kami berdua. Saya bersyukur kerana lagu duet kami ini bukan sahaja diterima, malah telah mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan generasi Z," jelasnya.
Untuk peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahan bersejarah ini, tiket akan mula dijual pada 28 Oktober 2024 melalui platform Ticket2u.com.my. Harga tiket bermula dari RM98 hingga RM498, manakala VIP BOX ditawarkan pada harga RM5,000.
Konsert ini dijangka akan menjadi satu platform nostalgia buat peminat yang telah menyokong kedua-dua artis ini sejak awal 2000 sehingga kini, di samping menarik minat generasi baharu untuk menghayati khazanah muzik tanah air.
Kommentare