Shah Alam - Industri e-sukan Malaysia mencapai satu lagi mercu tanda bersejarah apabila TODAK, sebuah nama gah dalam arena e-sukan tempatan, dengan kerjasama ANC LTD telah melancarkan butik gaya hidup 'Wear The Game' di K Commercial, Seksyen 13, Shah Alam semalam.
Majlis pelancaran butik tersebut telah disempurnakan oleh YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, bersama En Khairul Azlan, Pengasas dan Pengarah Kumpulan TODAK Holdings dan Pn Sharifah Hafiza Syed Ali, Pengarah ANC.LTD.
Dengan konsep "Wear The Game", butik yang memiliki keluasan 6,000 kaki persegi ini bukan sekadar premis perniagaan biasa, tetapi merupakan pusat sehenti yang menggabungkan elemen fesyen kontemporari dengan budaya permainan video.
Rekaan dalaman yang berunsur industri futuristik, dilengkapi dengan ruang membeli-belah dua tingkat dan kawasan santai untuk bermain permainan video, menjadikannya destinasi unik untuk komuniti gaming tempatan.
"Kami mahu mengubah persepsi masyarakat tentang budaya gaming dan esukan. Butik ini adalah bukti komitmen kami untuk membawa industri esukan ke tahap yang lebih tinggi," kata En Khairul Azlan, Pengasas dan Pengarah Kumpulan TODAK Holdings semasa majlis perasmian.
Sempena pembukaan butik ini, TODAK turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu termasuk penubuhan pasukan eFootball yang dianggotai pemain elit seperti Ahmad Muhaimin Abd Razak (Minbappe), juara dunia FIFAe World Cup. Selain itu, syarikat ini juga mengumumkan kerjasama strategik dengan CG Esports untuk pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di bawah pimpinan Muhammad Danial Mohamad Fuad (Cikugais).
Pn Sharifah Hafiza Syed Ali, Pengarah ANC.LTD, menegaskan bahawa kerjasama ini membuka dimensi baharu dalam industri fesyen tempatan. "Kolaborasi ini bukan sekadar mengenai pakaian, tetapi tentang membina komuniti dan memberikan platform kepada generasi muda untuk mengekspresikan diri mereka," jelasnya.
Butik yang terletak strategik berhampiran Stadium Shah Alam dan dikelilingi institusi pendidikan tinggi seperti MSU, UiTM dan Politeknik ini dijangka menjadi tarikan utama bagi peminat esukan dan fesyen kontemporari. Pelanggan bukan sahaja dapat membeli-belah koleksi pakaian eksklusif, malah dapat menikmati pengalaman immersif dalam dunia gaming moden.
Pembukaan butik ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah TODAK yang kini sedang mengembangkan sayapnya dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan industri kreatif, pembangunan permainan video, penganjuran acara esukan, dan inovasi teknologi pembayaran digital.
Comments