Ikuti Kami:

Tak Makan Dek Zaman! Dato’ Sri Siti Nurhaliza Sekali Lagi Dinobat Wakil Spotify EQUAL Mac 2026

Tak Makan Dek Zaman! Dato’ Sri Siti Nurhaliza Sekali Lagi Dinobat Wakil Spotify EQUAL Mac 2026

KUALA LUMPUR – Ikon muzik tersohor Asia Tenggara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza terus membuktikan pengaruh legasinya yang tiada tandingan apabila sekali lagi dipilih mewakili kempen Spotify EQUAL Singapore & Malaysia bagi bulan Mac 2026. Pemilihan buat kali kedua ini bukan sahaja satu pengiktirafan buat pencapaian luar biasa seni beliau, malah ia terus mengangkat martabat dan suara wanita rantau ini ke pentas yang lebih meluas.

Menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas penghormatan berprestij tersebut, penyanyi bersuara emas ini menyifatkan pencapaiannya sebagai bukti bahawa karya muzik tidak mengenal batas usia mahupun peredaran masa.

“Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rezeki ini. Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Singapore & Malaysia merupakan satu penghormatan yang sangat besar buat saya,” luah Tokti.

Tak Makan Dek Zaman! Dato' Sri Siti Nurhaliza Sekali Lagi Dinobat Wakil Spotify EQUAL Mac 2026

 

Pemilihan beliau dalam era digital yang berkembang pesat ini membuktikan bahawa karya yang berkualiti akan sentiasa kekal relevan dan dihargai di platform penstriman global. Sebagai figura wanita yang sangat berpengaruh, Dato’ Sri Siti melihat kejayaan ini bukan sekadar pencapaian individu, tetapi ia adalah satu representasi buat semua anak seni wanita di rantau ini. Ia membawa mesej yang jelas bahawa suara wanita mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan peminat di Malaysia, Singapura, dan di seluruh dunia.

Mengambil kesempatan daripada penghormatan yang diterima, penyanyi nombor satu negara itu turut menitipkan pesanan bermakna buat generasi penyanyi wanita muda yang bercita‑cita membina kerjaya mampan dalam industri muzik masa kini. Beliau menasihatkan para pelapis agar memberi keutamaan kepada kualiti karya serta membina identiti seni yang kukuh dan konsisten, berbanding sekadar mengejar populariti sementara.

“Jangan hanya mengejar viral, tetapi kejarlah kualiti. Identiti yang kuat dan disiplin dalam menjaga vokal akan memastikan anda kekal relevan merentas zaman,” tegas Tokti.

Tak Makan Dek Zaman! Dato' Sri Siti Nurhaliza Sekali Lagi Dinobat Wakil Spotify EQUAL Mac 2026

Menurutnya, setiap artis perlu bijak menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan trend semasa, namun tidak sesekali melupakan asas seni yang menjadi tunjang perjalanan kreatif mereka.

Beliau turut menekankan bahawa sikap positif dan ketahanan diri amat penting dalam mengharungi pelbagai cabaran yang wujud dalam industri hiburan. Nilai ini bukan sahaja membantu mengekalkan fokus dan momentum, malah menjadi kekuatan utama untuk terus berdaya saing dalam dunia seni yang sentiasa berubah.

Paling utama, penyanyi kesayangan ramai ini menegaskan bahawa para peminat merupakan tunjang kekuatan kepada perjalanan kerjaya seseorang artis. “Hargai peminat anda kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di mana-mana,” pesan beliau mengakhiri bicara.

Loading...