top of page
Writer's pictureMYB

SUKI LOW Kembali Dengan Single Terbaru - Bahagia Yang Sebentar

Pembabitannya dalam program ‘Gegar Gavanza’ musim kelapan (GV8) sudah lama dinantikan peminat. Sekaligus membuktikan Suki masih menjadi antara penyanyi yang memiliki vokal terbaik dalam industri muzik tanahair.


Suki kembali dengan single kedua selepas Nelangsa

Cabaran menyanyikan pelbagai genre lagu sepanjang GV8 itu juga mengingatkan semua bahawa Suki seorang penyanyi yang cukup versatil. Kekuatan vokal dimiliki Suki dipergunakan dengan baik hingga dinobatkan pemenang tempat ketiga pertandingan tersebut. Sebelum ini, tentu ramai yang masih ingat lagi kejayaan Suki menjuarai pertandingan ‘One in a Million’ musim pertama mengalahkan nama-nama besar lain seperti Alif Satar dan Faizal Tahir.


Tanpa mahu membiarkan peminat menunggu lama, Suki, 33, atau nama sebenarnya Suki Low Sook Yee muncul dengan single terbaharu “Bahagia Yang Sebentar” hasil ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi popular, Shila Amzah yang juga seorang komposer yang berkaliber.


Menurut Suki, demo lagu “Bahagia Yang Sebentar” itu sudah diterima selepas GV8 akhir lagi, namun baharu dirakamkan awal Januari lalu.


“Sebenarnya, saya terima demo lagu ini daripada Shila sehari selepas GV8 berakhir. Selepas mendengarnya, saya memang suka dengan lagu ini dan mahu jadikannya single baharu selepas GV8.


“Tapi, pada masa itu juga, saya terima pelawaan untuk terbabit dalam projek lagu Nelangsa, OST filem The Assistant arahan Adrian Teh dan juga beberapa projek yang lain seperti berlakon dan penyanyi suara latar untuk filem Pinocchio oleh Disney serta penerbitan lagu Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2022, Keluarga Malaysia Teguh Bersama untuk dinyanyikan oleh saya bersama Amir Masdi, Amos Paul dan Nikki Palikat.


“Selain itu, saya juga sibuk dengan kerja dan jadual lain. Disebabkan itu, saya mengambil lebih masa untuk selami lagu Bahagia Yang Sebentar dan merancang cara untuk menyampaikan lagu ini. Saya terbitkan lagu ini sendiri dan sangat berpuas hati dengan hasil karya kali ini,” katanya.


Suki berkata, dia terharu dan menitiskan air mata ketika mendapat lagu daripada Shila.



“Saya rasa sangat terharu, menitis air mata pun ada bila Shila kongsikan demo. Ia adalah sebuah lagu yang penuh dengan jiwa. Saya berbesar hati atas kepercayaan Shila untuk memberi lagu ini kepada saya. Dia seorang yang sangat meyokong karier saya. Begitu juga saya terhadap Shila. Saya harap Shila puas hati dengan hasil karya akhir lagu ini.


“Saya merakam lagu ini pada awal Januari lalu. Proses produksi lagu ini bermula pada November tahun lalu. Proses rakaman vokal mengambil masa tujuh jam,” katanya.


Menurutnya, biarpun sudah lama tidak merakamkan single baharu, tidak timbul perasaan kekok sebaliknya sentiasa berasa teruja untuk memberikan yang terbaik pada setiap karya yang dihasilkan.

 

“Lagu ini mengisahkan kehilangan dan fasa kedukaan bila kehilangan seseorang. Menyangkal, marah, tawar menawar, depresi dan akhirnya penerimaan. Lagu ini pula bergenre lagu Pop Balada. Ia sebuah lagu cinta yang penuh emosi.


“Studio rakaman umpama 'second home' bagi saya. Saya suka luangkan masa dalam studio, kerana ia tempat selamat bagi saya mengekspresi segala emosi dan kreativiti, samaada sebagai penyanyi atau tenaga kerja produksi.


“Saya berharap lagu ini dapat diterima ramai serta dapat menemani pendengar yang melalui fasa kehilangan dan menyembuhkan hati duka. Bagi saya, muzik boleh menyembuh dan memberi semangat dan saya berharap lagu Bahagia Yang Sebentar dapat mencapai tujuan itu,” katanya.

 

Berkongsi lanjut mengenai kerjaya seninya selepas GV8, Suki mahu terus memberi fokus kepada muzik.


“Saya berasa lebih berkeyakinan dan niat untuk berkarya dengan lebih tekad. Dengan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan dalam industri, saya rasa teruja dan bersemangat untuk terus berkarya dan akan terus belajar untuk meningkatkan prestasi dalam nyanyian, persembahan serta dalam kerja-kerja produksi.


“Untuk tahun ini, saya nak beri lebih tumpuan pada muzik. Saya ingin terus berkarya dan memberanikan diri untuk terbabit lebih banyak dalam produksi lagu sendiri terutamanya dalam penerbitan lagu. Kalau ada rezeki untuk berlakon, saya juga bersedia untuk mencuba,” katanya.


Single terbaharu, “Bahagia Yang Sebentar” nyanyian Suki Low telah dilancarkan oleh Nova Music dan boleh mula distrim di semua pelantar pentstriman muzik digital. Manakala video muzik rasmi lagu tersebut boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.


Siaran Terkini

Lihat Semua

Comentarios


bottom of page