top of page
Writer's pictureMYB

SUDAH Disempurnakan Oleh Nikki Palikat

Gembira namun dalam masa yang sama sayu, itu yang dirasai oleh Nikki Palikat saat mula mendengarkan lagu SUDAH buat kali pertama. Lagu yang membawa seribu satu cerita itu begitu indah untuk dihayati namun turut menjentik emosinya.


Sepatutnya SUDAH yang merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Naim Daniel dinyanyikan oleh Allahyarham Siti Sarah Raissuddin. Namun, kepergiannya pada tahun lalu sebelum sempat merakamkan lagu ini disambung oleh Nikki, salah satu bintang paling bersinar dan mencuri tumpuan 2022.


Menggalas tanggungjawab menyambung apa yang tidak sempat disudahkan Siti Sarah, Nikki bersyukur kerana dapat merealisasikan impian banyak pihak untuk menyudahkan projek SUDAH yang lebih dua tahun tergendala.


SUDAH
Nikki Palikat

“Memang ini satu penghormatan buat saya apabila dapat menyanyikan lagu ini. Sebenarnya pelbagai emosi dirasakan saat kali pertama mendengarkan lagu ini.


Ada sesuatu yang menarik perhatian tentang SUDAH tatkala mendengarkan melodi dan bait-bait lirik yang menusuk ke dalam hati.

“Sebab itu saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju terlibat sama dalam projek ini. Terima kasih kepada semua yang percaya kepada saya untuk membawa lagu SUDAH,” kata Nikki.


Tambahnya lagi, dia sudah pun menerima demo lagu ini ketika masih bersaing dalam Gegar Vaganza 2022. Namun dek berapa kekangan termasuklah soal kesihatan yang mengganggu sebaik sahaja final GV8 berakhir, lagu ini tidak sempat disiapkan terlebih awal seperti yang dijangka.


Menganggap ini begitu istimewa, Nikki bersyukur kerana dapat memberikan yang terbaik usai proses rakaman sehinggalah pembikinan video muzik (MV) dilangsaikan sepenuhnya bulan lalu.


“Apabila mendapat demo lagu ini, saya cuba sedaya upaya mengkaji apa yang perlu dilakukan untuk memberikan yang terbaik ke dalam lagu ini. Saya mahu menjadikan lagu ini diterima ramai dan memberikan keselesaan juga kepada saya untuk menyanyi. " NIKKI PALIKAT

“Satu lagi yang istimewanya tentang SUDAH apabila liriknya begitu menangkap dan membuatkan sesiapa sahaja merasai apa cuba disampaikan,” tambah pemenang tempat kedua GV8 ini lagi.


Bercerita mengenai proses pembikinan MV pula, ada satu kejadian di mana penggambaran terpaksa dihentikan seketika apabila Nikki mula menangis.


Jelasnya perkara berkenaan berlaku secara spontan apabila bait-bait lirik sangat menusuk ke hatinya dan membuatkan air jatuh.


“Lirik pada bahagian korus itu sangat menusuk ke dalam hati. Tak tahu mengapa, tiba-tiba sahaja saya merasakan perkara itu.


“Apabila kita faham dengan apa yang dimaksudkan, itu juga menjadi sebab mengapa saya menangis ketika penggambaran berlangsung,” katanya.


Bercerita mengenai Siti Sarah pula, Nikki menganggap apa yang berlaku sebagai sebuah perjalanan hidup yang harus diterima dengan reda oleh semua.


Hubungan baik yang terjalin antara mereka membuatkan Nikki sentiasa menghormati dan mengenang segala kebaikan Allahyarham selama mereka mengenal antara satu sama lain.


“Dahulu kami sering bertemu dalam beberapa persembahan nyanyian. Saya kagum dengan bakat yang dimiliki olehnya. Sarah kaya dengan pelbagai teknik nyanyian dan itu juga menjadi kelebihannya.


“Sudah pasti kehilangannya memberikan kesan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada seluruh industri,” tambahnya.



TENTANG SUDAH


SUDAH merupakan sebuah lagu yang mempunyai sejarah yang cukup panjang dan penuh emosi. Berawal daripada 2019, semuanya bermula apabila Allahyarham Siti Sarah meminta lagu daripada Naim Daniel untuk dijadikan karya terbarunya.


Pengarah Urusan Indigital Music, Nana Mohd Rom berkata, sebaik sahaja menerima lagu tersebut, mereka melantik Lok U sebagai penerbit SUDAH.


“Siti Sarah sempat bertemu Lok U ketika itu dalam satu sesi jamming. Mereka juga sempat berbincang mengenai hala tuju lagu tersebut dan bagaimana ia akan direalisasikan.


“Namun, tak sempat lagu ini dirakamkan, Lok U meninggal dunia pada 21 Januari 2020. Gubahan lagu yang sedang disiapkan juga tidak sempat diserahkan kepada pihak kami,” kata Nana.


Tidak patah semangat dengan apa yang berlaku, SUDAH akhirnya diserahkan kepada penerbit popular Indonesia, Irwan Simajuntak.


Irwan bukan sahaja berpengalaman luas dalam bidang muzik dan gubahan, malah beberapa penyanyi ternama Indonesia dan Malaysia sering menggunakan khidmatnya.


Sepatutnya, Siti Sarah merakamkan vokal di Jakarta seperti yang dipersetujui pada peringkat awal.


Namun, dek kerana Covid-19 yang melanda satu dunia dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan awal 2020, semuanya tidak dapat dilakukan.


“Apabila PKP mula dilaksanakan, kami berbincang dan membuat keputusan untuk menghentikan sementara projek ini.


“Kalau diteruskan sekalipun, agak sukar untuk melakukan promosi dan sebagainya memandangkan keadaan ketika itu yang tidak mengizinkan.


“Tapi pada Disember 2020, kita ambil keputusan untuk teruskan projek ini. Sarah juga gembira untuk merakamkan lagu ini memandangkan ia sudah lama tertangguh,” katanya.


Namun, sebaik sahaja mahu merakamkan lagu ini, Sarah disahkan mengandung dan sesi rakaman terpaksa ditangguhkan sekali lagi.


Pelbagai pertimbangan dibuat dan akhirnya rakaman tersebut ditangguhkan sekali lagi.


“Kita berbincang dan arwah mengatakan mahu merakamkan semula ketika kandungannya berusia lima atau enam bulan.


“Tapi apabila kandungan sudah semakin membesar, kita tak dapat lakukan juga proses rakaman kerana dia mengadu cepat penat dan mengah.


“Takdir Tuhan, apabila kandungannya mencecah usia lapan bulan, dia pergi buat selama-lamanya kerana Covid-19. Lagu ini juga tak dapat dirakamkan seperti mana yang diingini oleh arwah,” jelas Nana.


Akhirnya, setelah melakukan pelbagai pertimbangan, Indigital Music memilih Nikki Palikat untuk menyanyikan lagu SUDAH.


Bagi Nana, dia melihat Nikki sebagai salah satu bintang paling menyerlah disamping mempunyai kekuatan vokal dan mempunyai feel untuk menyampaikan maksud sesebuah karya.


Apa yang paling mengharukan, apabila pelawaan kali pertama disambut oleh Nikki dan seterusnya bersetuju bekerjasama dalam projek SUDAH.


“Pihak kami berharap lagu ini akan membawa kejayaan besar kepada Nikki juga. Kita akan terus memberikan sokongan kepadanya dan mahu dia terus bersinar di dalam industri.


“Kepada peminat arwah Siti Sarah, teruskan memberikan sokongan kepada SUDAH kerana ini rupakan projek terakhir yang direalisasikan,” kata Nana.


Lagu SUDAH nyanyian Nikki Palikat sudah dilancarkan secara rasmi disemua platform digital mulai 25 Mac 2022. MV SUDAH pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music mulai 3 petang hari yang sama.


0 komen

Commentaires


bottom of page