ST Rosyam Mart Lakar Sejarah Catat Rekod Asia Hypermarket 24 Jam Paling Pesat Berkembang
- oleh Editor MYBUZZ
- 10 Apr 2026 11:20 am
ST Rosyam Mart diiktiraf sebagai Rangkaian Hypermarket Borong 24 Jam Paling Pesat Berkembang 2025 (Pemegang Rekod Pertama) oleh Asia Records
KUALA LUMPUR – Jenama pasar raya borong terkenal tempatan, ST Rosyam Mart terus melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul pengiktirafan berprestij daripada Asia Records. Jenama ini secara rasminya telah dinobatkan sebagai Rangkaian Hypermarket 24-Jam Paling Pesat Berkembang bagi tahun 2025, sekaligus muncul sebagai pemegang rekod pertama bagi kategori berprestij tersebut.
Anugerah daripada badan pencatat rekod serantau itu merupakan satu isyarat jelas terhadap kepimpinan industri dan kepesatan pertumbuhan jenama berkenaan. Sebagai penerima sulung, ST Rosyam Mart diiktiraf atas kejayaannya mengubah landskap industri runcit borong dengan meletakkan penanda aras yang baharu dari sudut kemudahan, kebolehcapaian, dan nilai. Ia kini unggul sebagai rangkaian pasar raya borong halal 24 jam yang paling berpengaruh di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Dato’ Raymond Ho menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu cerminan terhadap komitmen jitu syarikat dalam menyediakan nilai kepada pelanggan, disokong oleh dedikasi penuh seluruh tenaga kerja mereka.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak syarikat beriltizam untuk terus mengembangkan perkhidmatan demi memenuhi keperluan pasaran yang dinamik, di samping membantu perniagaan dan orang awam menjimatkan wang serta masa.

Dalam pada itu, Pengarah ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor meluahkan rasa bangga dan menganggap pengiktirafan ini sebagai hasil kepercayaan sokongan pelanggan, rakan kongsi, dan juga usaha gigih para pekerjanya. Beliau juga mengulangi janji jenama itu untuk terus komited memberikan nilai, harga yang berpatutan, dan kemudahan terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.
Menelusuri jejak perniagaannya, ST Rosyam Mart sehingga tahun 2026 telah berjaya melebarkan sayap dengan memiliki sembilan buah cawangan yang beroperasi terutamanya di kawasan Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Menjanjikan pengalaman membeli-belah dalam persekitaran bertaraf lima bintang, pasar raya ini beroperasi sepanjang 24 jam dengan menawarkan harga borong untuk pelbagai barangan termasuk hasil segar, daging, makanan laut, keperluan gaya hidup, dan ‘Celebrity Corner’. Malah, cawangan terbaharu mereka di Jakel Square, Kuala Lumpur turut memperkenalkan konsep eksklusif ‘Malaysia Selection’.
Berpegang teguh kepada visi “Berbelanja Di ST Rosyam Mart, Dompet Abang Selamat!”, pasar raya ini selangkah di hadapan dengan menyediakan lebih 20 perkhidmatan percuma untuk kemudahan pelanggannya. Antara perkhidmatan nilai tambah yang mencuri tumpuan termasuklah khidmat memotong daging, bantuan mengecas bateri kereta bermasalah, perkhidmatan pam tayar, air minuman percuma, serta kemudahan meminjam payung dan power bank.
