Sony Music Malaysia telah mengumumkan kerjasama strategik dengan kumpulan muzik ikonik, KRU. Kerjasama ini bukan sahaja menandakan kembalinya KRU ke persada muzik, tetapi juga membuka peluang baru untuk penghasilan karya-karya inovatif yang bakal memikat hati peminat.
KRU, yang terdiri daripada tiga adik beradik – Norman, Yusry, dan Edry Abdul Halim, telah memulakan perjalanan mereka dalam industri muzik pada awal 1990-an. Mereka mula dikenali dengan lagu-lagu seperti “Awas” dan “Ooh! La! La!”, yang bukan sahaja mendapat sambutan hangat di Malaysia, tetapi juga di negara-negara jiran.
KRU dikenali dengan gaya muzik yang unik, menggabungkan elemen-elemen pop, hip-hop, dan R&B, serta lirik yang relevan dengan kehidupan remaja pada masa itu.
Mereka juga telah melahirkan ramai bakat-bakat baharu yang bernaung di bawah syarikat mereka selain menghasilkan pelbagai lagu untuk ramai penyanyi serantau. KRU juga telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, menjadikan mereka salah satu kumpulan yang paling berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia.
Sepanjang lebih dua dekad dalam industri muzik, KRU telah menghasilkan lebih daripada 20 album studio dan kompilasi, serta memenangi pelbagai anugerah muzik. Mereka juga telah menceburi bidang penerbitan filem dan animasi, dengan kejayaan filem seperti “Cicakman” dan “Hikayat Merong Mahawangsa”. KRU sentiasa dikenali sebagai kumpulan yang berani mencuba perkara baru dan membawa inovasi dalam setiap karya mereka.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Sony Music Malaysia, kerjasama ini bertujuan untuk memperkasa industri muzik tempatan dengan memperkenalkan elemen-elemen baru dalam penghasilan muzik.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan KRU, sebuah kumpulan yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik Malaysia. Dengan gabungan kepakaran KRU dan sumber yang kami miliki, kami yakin dapat menghasilkan karya-karya yang luar biasa,” kata Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong.
Kerjasama dengan Sony Music Malaysia ini dijangka akan membawa KRU ke tahap yang lebih tinggi, dengan sokongan teknologi dan rangkaian global yang dimiliki oleh Sony Music.
Comments