Kuala Lumpur - Penyanyi baharu tetapi berpengalaman, Soma atau nama sebenarnya Rosmah S. Sengari @ Basar, baru-baru ini telah menganjurkan majlis berbuka puasa istimewa bersama pihak media sempena pelancaran lagu Aidilfitri terbarunya bertajuk "Aku Tetap Raya".

Majlis "Iftar Media Gathering" yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dengan pihak media, malah turut menyaksikan pelancaran video muzik rasmi lagu tersebut.
Menurut Soma, lagu "Aku Tetap Raya" adalah hasil kolaborasi bersama Belle Fattah dan Adinda Amiro yang membawa mesej kegembiraan dan kehangatan Syawal melalui melodi ceria dan lirik bermakna.

"Saya amat teruja dengan acara ini kerana ia bukan sekadar pelancaran lagu dan MV rasmi, tetapi juga peluang untuk saya berjumpa dan berbuka puasa bersama rakan-rakan media yang sentiasa memberi sokongan kepada perjalanan seni saya," ujar Soma.
Yang menarik perhatian dalam video muzik lagu ini adalah penampilan istimewa penyanyi legenda tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim, yang merupakan idola dan sumber inspirasi Soma dalam industri seni. Selain itu, model terkenal Malaysia, Zahnita, yang kini kembali aktif dalam industri, turut memeriahkan video muzik tersebut.
Pelancaran lagu Raya ini menyusul selepas kejayaan Soma dengan album sulungnya "Perjalanan" yang memuatkan lima buah lagu termasuk tiga karya istimewa ciptaan komposer tersohor, Allahyarham S. Atan.
"Aku Tetap Raya" kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music bermula 14 Mac 2025. Para peminat juga boleh menonton video muzik rasmi yang telah dilancarkan, dan mengikuti Soma di media sosial melalui Instagram, TikTok dan Facebook untuk perkembangan terkini beliau.
Dengan lagu Raya ini, Soma berharap dapat menghangatkan lagi suasana perayaan Aidilfitri dan memberi keceriaan kepada semua peminat muzik tanah air.
Comments