Kuala Lumpur - Biduanita nombor satu negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza telah membuktikan sekali lagi kesetiaan beliau dalam menghasilkan lagu-lagu Aidilfitri yang menyentuh jiwa dengan pelancaran single terbarunya yang berjudul "Raya Nak Ke Mana?".

Lagu yang dilancarkan secara rasmi pada 12 Mac 2025 ini adalah kolaborasi istimewa antara Siti Nurhaliza dengan pengkarya muda berbakat, Aisha Retno dan RADi. Lagu berentak zapin ini ditulis bersama oleh Aisha Retno dan penyanyi terkenal, Amylea Azizan.
Menurut Tokoh Industri Muzik ini, lagu-lagu Aidilfitri sememangnya sinonim dengan kerjayanya yang panjang dalam industri hiburan tanah air. Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan pengkarya muda yang membawa pendekatan segar dalam penghasilan lagu raya.

"Lagu raya cukup sinonim dalam kerjaya saya dan tahun ini saya berasa bertuah kerana dapat menyanyikan sebuah lagi karya yang mempunyai keistimewaan dan berpotensi malar segar," kata Siti Nurhaliza ketika ditemui.
Siti turut memberitahu bahawa beliau jatuh cinta dengan lagu "Raya Nak Ke Mana?" sejak pertama kali mendengar demonya. Elemen tradisional yang dikekalkan dalam lagu ini menjadi faktor utama yang memikat hati beliau untuk merakamkannya.
"Sekali dengar, lagu ini terus memikat hati apatah lagi lagu berunsurkan irama tradisional sentiasa melekat di hati saya. Saya sangat berharap agar lagu ini akan diterima pendengar dan peminat seperti koleksi lagu raya lain yang pernah saya nyanyikan," tambah beliau.
"Raya Nak Ke Mana?" yang diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn. Bhd. kini boleh didengari di semua platform digital. Video muzik rasmi lagu ini juga telah dilancarkan pada hari yang sama di saluran YouTube rasmi Siti Nurhaliza pada jam 5 petang.
Dengan alunan zapin yang meriah dan segar, "Raya Nak Ke Mana?" dijangka akan menjadi salah satu lagu raya wajib dalam koleksi peminat muzik tanah air sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Comments