“Saya Menangis Tulis Lagu Ini…” – Magis Bapa-Bapa, Harith & Yonnyboii Bergabung Dalam ‘Sempurna’
- oleh Editor MYBUZZ
- 18 Jun 2026 6:39 pm
PETALING JAYA: Sempena meraikan sambutan Hari Bapa yang bakal tiba, dua penyanyi berbakat, Harith Zazman dan Yonnyboii melakar sejarah tersendiri apabila bergabung suara buat julung kalinya menerusi sebuah naskhah meruntun jiwa berjudul ‘Sempurna’.
Lagu berentak pop yang sarat dengan elemen emosi ini mengangkat mesej kekeluargaan, penerimaan, serta penghargaan terhadap insan yang melengkapkan kehidupan. Ia bukan sekadar naskhah komersial biasa, sebaliknya terhasil daripada pengalaman sebenar kedua-dua pemuzik ini yang kini matang menggalas tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
Menurut Harith yang juga merupakan penulis bersama lagu tersebut, inspirasi penceritaan ‘Sempurna’ bertitik tolak daripada fasa awal kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga.

Mengakui perbezaan latar belakang dan pandangan bersama isteri banyak mengajarnya, Harith menyifatkan perbezaan itulah yang sebenarnya membentuk maksud kesempurnaan dalam sesebuah perhubungan.
Malah, Harith tidak segan berkongsi bahawa karya yang mendapat sentuhan Justin Seow selaku penerbit ini merupakan karya paling peribadi yang pernah dihasilkannya sepanjang bergelar anak seni.
“Ini mungkin lagu yang paling matang dan paling emosional pernah saya tulis. Saya menangis ketika menulis lagu ini kerana ia sangat dekat dengan pengalaman hidup saya sendiri dan tidak sabar mahu berkongsi mesejnya dengan semua,” kongsinya.
Pemilihan Yonnyboii sebagai rakan duet pula tercetus secara spontan. Menurut Harith, status Yonnyboii sebagai seorang bapa menjadikannya individu paling tepat untuk menjiwai bait-bait lirik serta emosi yang cuba disampaikan.

Lebih mencuri tumpuan, proses pembikinan lagu ini turut menyimpan momen ‘rare’ yang cukup manis apabila Yonnyboii hadir meminjamkan suaranya di studio sambil ditemani anak lelakinya, Kyro. “Ketika menulis dan merakam lagu ini, Yonny sedang mendukung anaknya.
Malah, ada suara bayi yang turut kedengaran dalam rakaman asal lagu ini. Perkara kecil seperti itu membuatkan lagu ini menjadi lebih jujur dan lebih dekat dengan hati,” dedah Harith mengenai ‘scoop’ di sebalik tabir pembikinan lagu tersebut.
Sementara itu, Yonnyboii menyifatkan penglibatannya dalam naskhah ini sebagai satu dedikasi istimewa buat isteri dan cahaya matanya yang kini menjadi nadi serta sumber kekuatan hidupnya.
Tegas penyanyi rap itu, biarpun tema yang dibawa kali ini jauh lebih matang, identiti serta corak muziknya sama sekali tidak lari. Ia cuma menonjolkan sisi dirinya yang lebih jujur, penyayang dan menghargai insan tersayang.
Buktinya, apabila diminta merumuskan karya ini dalam tiga perkataan mudah, Yonnyboii pantas memetik nama keluarganya, “Yayo, Nina, Kita”. Naskhah magis yang mengingatkan pendengar untuk sentiasa menghargai perkara kecil dan meraikan keluarga ini sudah boleh mula distrim di semua platform penstriman digital bermula esok, 19 Jun 2026.
