Kemenangan kumpulan S.O.G dan Shila Amzah dalam menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-36 yang lalu benar-benar berjaya membuka mata pemain muzik tanah air. Kejayaan mereka sekaligus meletakkan satu ‘benchmark’ kepada muzik indie yang semakin berkembang seiring dengan muzik-muzik ‘mainstream’ yang ada.
Pengikut muzik indie ini juga tidak kurang ramainya dan boleh membantu menaikkan ekonomi muzik tanah air.
Oleh kerana kehangatan kemenangan mereka masih lagi membara, Media Prima mengambil langkah dengan bekerjasama bersama S.O.G dan juga Shila Amzah dalam menerbitkan sebuah lagu baharu yang menjadi lagu tema untuk raya tahun ini bagi Media Prima.
Lagu ini dicipta oleh Raja Nazmin Shah manakala liriknya pula dicipta oleh Shila Amzah dan lagu ini dinyanyikan oleh S.O.G dan Shila Amzah sendiri.
Seiring dengan tema kempen Ramadan dan Raya Rangkaian Televisyen Media Prima iaitu #SeikhlasHati, lagu yang dicipta ini juga menggunakan tajuk yang sama iaitu ’Seikhlas Hati’.
Menerusi lirik lagu ini juga, ia mengajak kita untuk saling bermaafan dan di kesempatan untuk kita terus memberi dengan seikhlas hati. Pastinya masih lagi mengekalkan genre muzik S.O.G yang sama, lagu raya ini benar-benar memberi kelainan jika dibandingkan dengan lagu raya yang sedia ada.
Menurut Raja Nazmin Shah, Penyanyi S.O.G dan komposer lagu Seikhlas Hati, “Kolaborasi S.O.G dan Shila Amzah untuk menjayakan kempen Seikhlas Hati menerusi judul lagu yang sama telah membuahkan hasil yang luar biasa dalam tempoh masa yang singkat.
"Kami sangat berbesar hati untuk menerima lamaran ini tambahan pula pihak Media Prima memberikan kebebasan untuk berkarya lagu raya ini dan mengekalkan identiti muzik S.O.G dalam lagu ini. Kami berharap agar lagu ini dapat diterima dengan lebih meluas kerana lirik lagu yang ‘catchy’ dan rentak lagu yang rancak pasti menjadi siulan orang ramai di musim perayaan nanti," jelas Raja Nazmin
Lagu ‘Seikhlas Hati’ nyanyian S.O.G dan Shila Amzah ini, edaran Alternate Records & Talents kini boleh didengari di Youtube bermula 18 April 2022, manakala muzik video mula di tayangkan di Youtube TV3Malaysia pada 20 April 2022, 9.00 malam.
Opmerkingen