Ikuti Kami:

Rekod Tanpa Kalah Diuji, Terengganu Berdepan Cabaran Besar PDRM

Rekod Tanpa Kalah Diuji, Terengganu Berdepan Cabaran Besar PDRM

Terengganu catat rekod tanpa kalah untuk mara ke penentuan separuh akhir kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 sekaligus memperbaiki rekod pasukan setelah terkandas di peringkat suku akhir pada musim lalu.

 

KUALA TERENGGANU: Aksi separuh akhir Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 pada hujung minggu ini bakal menyajikan pertembungan penuh dramatik apabila Terengganu dijadualkan bertemu semula dengan gergasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Meskipun Terengganu melangkah gagah ke pusingan kalah mati ini dengan reputasi bersih tanpa sebarang kekalahan, kem skuad Pantai Timur itu memilih untuk mengambil pendekatan merendah diri dan enggan menjadikan rekod lampau sebagai jaminan keselesaan.

Mengikut rekod pertemuan dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini, Terengganu sekadar mencatatkan kemenangan tipis 26-25 ke atas PDRM ketika beraksi di gelanggang lawan. Jurang kemenangan yang hanya dibezakan dengan satu mata itu menjadi bukti jelas bahawa tiada ruang untuk kesilapan mudah bagi kedua-dua pasukan.

PDRM, yang hadir dengan status gah selaku penyandang juara tiga kali berturut-turut, kekal dilabel sebagai antara pencabar paling digeruni musim ini, biarpun mengecapi dua kekalahan sepanjang fasa kumpulan yang membuka tirainya sejak Mei lalu.

Rekod Tanpa Kalah Diuji, Terengganu Berdepan Cabaran Besar PDRM

Hafiizh Zainal (kanan) yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan kini galas tugasan selaku ketua jurulatih Terengganu bagi kempen kejuaraan Piala Agong Edisi-42 2026 yang telah bermula sejak Mei lalu.

 

Ketua jurulatih Terengganu, Hafiizh Zainal mengakui intensiti pertembungan kali ini pasti melonjak berkali ganda memandangkan taruhan yang ditawarkan adalah slot wajib ke pentas final.

“Tekanan sebenarnya milik kedua-dua pasukan. Terengganu memikul harapan besar selaku tuan rumah pada hujung minggu ini, manakala PDRM pula turun mempertahankan maruah mereka sebagai juara bertahan. Misi utama kami adalah memburu kemenangan dan kami tidak sesekali memandang rendah keupayaan pasukan lawan.

“Kelebihan satu mata dalam pertemuan lalu menjadi indikasi awal bahawa perlawanan separuh akhir ini akan jauh lebih sengit. Jujurnya, rekod tanpa kalah yang kami bawa ini langsung tidak memberi zon selesa, apatah lagi tekanan beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri nanti,” ujar Hafiizh yang kali pertama mengemudi Terengganu dalam kancah Piala Agong.

Pertembungan epik yang dinamakan sebagai ‘buku bertemu ruas’ ini dijadualkan berlangsung pada jam 3.30 petang, Sabtu ini. Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail yang terletak di Kompleks Sukan Negeri Terengganu dipilih sebagai gelanggang saksi pertempuran kedua-dua gergasi ragbi tempatan ini.

Loading...