Memulakan perniagaan dengan matlamat mendukung fardu Kifayah, dua anak muda menggorak langkah memulakan perniagaan membekal ayam segar di negara ini.
Bermula pada tahun lalu entiti perniagaan dikenali Red Grocer (RG) yang diusahakan oleh tiga sahabat memberikan jaminan mereka menawarkan ayam yang dijamin segar, bersih dan halal untuk semua masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Red Grocer Farhan Umar berkata, mereka sedar tanggungjawab untuk memastikan bekalan ayam diproses dengan mengikut piawaian dan syariat yang ditetapkan agar ia selamat untuk pembeli.
"Bagi kami selain mencari keuntungan, kami beikrar ayam keluaran syarikat kami selamat dan halal untuk pengguna.
"Kami juga mahu menawarkan pelan harga yang berpatutan dalam masa sama memastikan bekalan sentiasa ada dari bekalan tempatan untuk pasaran tempatan," katanya pada majlis perasmian kilang pemprosesan Red Grocer di Taman Daya, Johor Bahru, baru-baru ini.
Sehingga kini, Red Grocer mempunyai tiga kilang pemprosesan ayam utama di Kelantan, Kajang dan Johor Bahru dengan kapasiti pengeluaran 250,000 ekor ayam sehari.
Syarikat milik penuh bumiputra ini turut menawarkan bekalan ayam bulat, isi dada, 'chicken chop', anggota ayam dan juga ayam cincang.
Red Grocer juga turut mengintai peluang untuk meneroka pasaran Singapura memandangkan pintu masuk negara sudah dibuka kepada Kota Singa itu selain menjadikan cawangan kilang yang baru dilancarkan di Johor Bahru itu sebagai hub logistik dan pengedaran bagi pasaran ke Sabah dan Sarawak.
Turut membuka peluang perniagaan kepada yang berminat, Farhan berkata terdapat 30 ejen syarikat itu di seluruh negara ketika ini.
Mengenai pemilihan Ali Puteh Sebagai Duta Jenama Red Ged Grocer, dia berkata pelawak itu mampu memberikan komitmen dan bersama-sama memperkenalkan syarikat itu kepada orang ramai.
Ali juga menunjukkan minat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan serta komited dan bersungguh-sungguh me pelajari selok belok memproses ayam.
"Bagi saya Ali ada karakter lain berbanding pelawak sedia ada. Malah saya difahamkan dia juga memang pernah berniaga bersama arwah abangnya, Abam.
"Kita mahu membentuk Ali menjadi usahawan berjaya dan membimbing dia sehingga mampu menjadi seorang dari pemegang saham syarikat ini," katanya.
Bukan saja sebagai duta, Ali juga diberikan tanggungjawab sebagai Pengurus Perhubungan Awam Red Grocer.
Ali ketika ditemui mengaku terharu dengan peluang yang diterima dan menganggap ia mimpi yang menjadi kenyataan.
Memang menjalankan perniagaan menjual udang secara kecil-kecilan, dia tidak kekok memproses dan memotong ayam.
"Saya bersyukur dengan rezeki ini dan saya percaya ia memberikan peluang untuk masa depan yang lebih terjamin," katanya.
Menganggap ini sebagai dunia baharunya, Ali enggan ambil pusing apa juga pandangan orang sebaliknya terus melangkah demi kebaikan semua pihak.
"Saya mahu tutup buku lama, sesuai dengan bulan Ramadan yang baru bermula dan saya percaya jika kita berusaha pasti ada ganjarannya.
"Saya masih aktif dalam bidang seni jika ada tawaran, tapi saya juga mahu memberikan fokus pada bidang ini," katanya.
Comentarios