Kuala Lumpur - Penyanyi kelahiran Johor Bahru, Ryzal Aziz bukanlah asing dalam industri muzik. Selepas bermula sebagai penyanyi kelab malam pada tahun 2000, Ryzal kini telah mantap dalam industri muzik arus perdana bersama kumpulan One Soul Band. Beliau telah menghasilkan beberapa single popular seperti "Perpisahan", "Pasrah di Aidilfitri", dan "Aku Rela".
Terkini, Ryzal Aziz kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan single religi terbarunya bertajuk "Ramadan", sebuah karya yang diharapkan dapat membangkitkan kesedaran spiritual menjelang kedatangan bulan suci.
Single yang dihasilkan di bawah label DK Records ini merupakan sebuah balada perlahan yang menggabungkan melodi lembut dengan iringan alat muzik cello dan string. Menerusi kolaborasi istimewa bersama jurutera suara Amyr Abadawn dan Felix, Ryzal berjaya menghasilkan sebuah komposisi yang diharapkan dapat menyentuh hati pendengarnya.
Ryzal menegaskan bahawa lagu ini lebih daripada sekadar satu karya muzik. "Saya berharap lagu ini dapat menyampaikan mesej kepada kita semua supaya menggunakan kesempatan bulan Ramadan ini dengan sebaik-baiknya untuk beribadah dengan lebih tekun dan memohon keampunan Allah SWT," katanya.
Berlatar belakangkan tema keinsafan dan kerohanian, "Ramadan" mengajak pendengar untuk menghayati keindahan bulan suci. Lirik yang mendalam merayu pengampunan kepada Maha Pencipta sambil mengajak umat Islam merenung dan memperbaiki diri.
Lagu ini akan dapat didengar menerusi pelbagai platform muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube, Instagram, TikTok, Deezer, dan Prime Music. Sementara itu, muzik video Ramadan dijadual akan disiarkan bermula pada 21 Februari 2025 serentak di semua platform media sosial Ryzal.
Selain "Ramadan", peminat turut dapat menantikan dua lagi karya Ryzal pada tahun ini, iaitu lagu cover "Di Sebalik Rahsia Hati" dan single baharu bertajuk "Menggapai Bintang".
Comments