Program NUR@PETRA 2026 Dilancarkan: Rebat RM200 Untuk Pembelian Peralatan Elektrik Cekap Tenaga
- oleh Editor MYBUZZ
- 29 Jun 2026 4:28 pm
PUTRAJAYA– Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) secara rasmi melancarkan Program Nikmat Untuk Rakyat (NUR@PETRA) 2026 bagi Kategori Domestik bermula hari ini, bagi membantu rakyat menghadapi cabaran krisis bekalan ekoran peningkatan kos tenaga serta ketidaktentuan pasaran global.
Menerusi program yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) sebagai agensi pelaksana ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah 160,000 unit rebat bernilai RM32 juta untuk menggalakkan pengguna domestik beralih kepada peralatan elektrik cekap tenaga. Pengguna yang layak kini boleh menikmati rebat sebanyak RM200 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk yang mempunyai label kecekapan tenaga 4 atau 5 bintang daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) atau Energy Commission of Sabah (ECOS).
Inisiatif bersasar ini bukan sahaja bertujuan untuk mengurangkan kos bil elektrik isi rumah dan memupuk amalan lestari, malah dijangka membawa impak besar kepada alam sekitar dan ekonomi negara. Pelaksanaan Program NUR@PETRA Domestik ini dianggarkan mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 552.25 gigawatt-jam (GWh), yang menyamai penjimatan kos sehingga RM250.72 juta bagi tempoh lima tahun. Selain itu, program ini turut menyokong agenda pembangunan rendah karbon dengan jangkaan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 408,655 tan CO2eq.
Bagi orang ramai yang ingin menyemak kriteria kelayakan, kaedah permohonan, serta senarai jenama peralatan yang terlibat, maklumat lengkap boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang rasmi SEDA Malaysia di www.seda.gov.my/nur.
