top of page
Writer's pictureMYB

PPOBM Sasar Kumpul Dana RM1 Juta Bantu Pembangunan Komuniti OKU Penglihatan

Biarpun 24 jam menjalani kehidupan tanpa cahaya dan melalui pelbagai kesukaran berbanding mereka yang sempurna penglihatan, komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan tetap gigih mencari nafkah bagi menyara kehidupan keluarga.


Tidak dinafikan peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada golongan tersebut tidak banyak dan jika ada jumlahnya amatlah terhad, tiada istilah ‘pilihan’ kepada mereka.


Penganjuran majlis makan malam perdana dan anugerah PPOBM turut mendapat kerjasama dari dua artis popular tanahair, Hafiz Suip dan Adira Suhaimi

Walau bagaimanapun, ramai golongan yang cacat penglihatan ini berjaya mengharungi kesulitan hidup dan menjadi inspirasi kepada mereka yang senasib agar tidak kalah dengan cabaran.


Ada yang menjadi usahawan berjaya, ada yang mencatat sejarah dalam arena sukan dan ada yang mencipta sejarah dalam pengajian. Semua ini merupakan pencapaian yang sangat menakjubkan.


Justeru, Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM) yang merupakan sebuah organisasi yang bergerak aktif dalam bidang kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sukan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan, berhasrat untuk merai dan menghargai usaha golongan yang terpilih ini agar masyarakat Malaysia mengiktiraf kejayaan mereka dan memberi peluang kepada golongan tersebut menjadi sebahagian daripada kebanggaan negara.


Selain dari itu, ia juga bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada golongan muda OKU Penglihatan agar tidak sekadar menunggu bantuan bahkan mencipta sendiri peluang kejayaan.


Bagi memastikan PPOBM mampu membantu OKU Penglihatan secara berterusan, organisasi tersebut berusaha untuk mengumpul dana bagi menampung kos operasi PPOBM dan menjalankan program bantuan serta kebajikan kepada ahli PPOBM.


Untuk mencapai objektif tersebut PPOBM akan mengadakan satu majlis makan malam dan Anugerah PPOBM bagi meraikan golongan OKU Penglihatan yang mencipta kejayaan walaupun dilanda ujian yang luar biasa.


Menurut Encik Shukri Shuhaimee selaku Pengarah Program berkata, “PPOBM Award & Grand Dinner 2023 telah dirancang sejak 2018. Namun ia tergendala kerana Pandemik Covid-19 menimpa seluruh dunia. Tahun 2023 adalah tahun paling sesuai untuk kami melancarkan acara ini dengan jayanya.


"Program ini dianjurkan adalah untuk mengumpul dana dan ingin masyarakat tahu kewujudan PPOBM. PPOBM sentiasa ingin membantu OKU Penglihatan walau di mana mereka berada. Semoga dengan cara ini, ramai tampil memberi sumbangan dengan membeli pakej yang kami sediakan.


Sebanyak 7 anugerah akan diberikan. Ia terdiri dari Anugerah OKU Cemerlang dalam bidang pendidikan di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, atlit yang mewakili negara, sukarelawan yang menderma dan pencapaian lain. Hadiah yang bakal diterima adalah Trofi Braille. Buku Braille. Wang Tunai RM 1000", jelas beliau


PPOBM mensasarkan dana sejumlah RM1 juta dapat dikumpulkan dari penganjuran majlis tersebut dimana dana itu kelak akan digunakan untuk proses penerbitan bahan bacaan Braille untuk kegunaan OKU Penglihatan dan membina jaringan kenalan baharu buat semua penderma dan penaja.


Penganjuran majlis makan malam perdana dan anugerah PPOBM ini turut dibantu oleh rakan kolaborasi utama seperti OilyLicious Healthcare Sdn Bhd dan Moment Learning Management serta beberapa rakan kolaborasi yang lain.




Majlis tersebut akan diadakan pada 22 Februari 2023, 8 malam, di Bangi Avenue Convention Centre, Selangor. Tetamu bakal dihiburkan oleh penyanyi Hafiz Suip dan Adira Suhaimi.


Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi kami di aplikasi whatapps +6011 6219 7914 atau layari laman sesawang https://dinner.ppobm.org.my/

Comentarios


bottom of page