top of page
Writer's pictureMYB

Polis Peronda Kembali Dengan Musim Terbaru Di TV3

Siri drama popular, Polis Peronda, kembali menemui penonton dengan musim terbarunya di TV3. Musim ini menjanjikan lebih banyak aksi mendebarkan dan plot yang penuh dengan kejutan.


Drama Polis Peronda

Polis Peronda mengisahkan kehidupan anggota polis di Unit Rondaan Bermotosikal (MPV) yang berdepan dengan pelbagai cabaran dalam menjalankan tugas harian mereka. Musim terbaru ini akan menampilkan watak-watak kegemaran seperti Koperal Bani, yang dimainkan oleh Shah Iskandar, serta beberapa watak baru yang akan menambah warna kepada jalan cerita.


Menurut pengarah siri ini, Datuk Yusof Haslam, musim terbaru Polis Peronda akan membawa penonton menyelami lebih dalam kehidupan peribadi dan profesional anggota polis.


“Kami ingin menunjukkan sisi manusiawi anggota polis yang sering kali tidak diketahui umum. Penonton akan melihat bagaimana mereka mengimbangi antara tugas dan kehidupan peribadi,” katanya.


 

SINOPSIS MUSIM TERBARU


Musim baharu ini bermula dengan kisah tentang Lans Kopral Husin (Kodi Rasheed) mengambil risiko besar dengan menyelinap ke lokasi panas untuk memantau aktiviti yang disyaki sebagai tempat pengedaran dadah. Tindakannya yang mengundang bahaya bertukar menjadi mimpi buruk apabila dia diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali. Insiden ini bukan Sahaja membahayakan nyawanya, tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai keselamatan dan keberanian anggota kepolisan dalam menjalankan tugas melindungi masyarakat.


Sementara itu, Kopral Bani (Shah Iskandar) turut bergelut dengan masalah keluarga apabila anak perempuannya mula terjebak dalam pengaruh negatif dari rakan-rakannya. Shiba menghabiskan masa sering keluar rumah dan berpoya-poya dengan rakan-rakannya. Masalah ini menjadi sukar buat Kopral Bani sebagai seorang bapa yang ingin melindungi anaknya. Apakah tindakan yang akan diambil Kopral Bani demi melindungi anaknya itu? Berjayakah beliau menangani masalah ini dan memastikan keluarganya kekal utuh?


 

Polis Peronda dihasilkan dengan kerjasama erat antara Skop Productions Sdn. Bhd, TV3, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menjadikan drama ini realistik dan penuh dengan perincian dunia kepolisan. Di sebalik kejayaan Polis Peronda adalah dengan mempunyai pasukan solid, dipimpin oleh penerbit dan Pengarah terkemuka tanahair, Datuk Yusof Haslam, bersama Syafiq Yusof, dan C. Kumaresan.


Drama Polis Peronda

Dengan pengalaman yang luas dalam industri perfileman, mereka berhasil menerbitkan drama yang berkualiti dan menghiburkan serta membawa karya ini ke tahap yang lebih tinggi. Dengan dibarisi pelakon yang berwibawa seperti Shah Iskandar, Puteri Sarah, Ali Reza, Ramona Zamzam, Raja Afiq, Soffwany Yusoff, Kodi Rasheed dan ramai lagi, Polis Peronda terus memikat penonton dengan penceritaan yang tulus dan berani.


Musim terbaru Polis Peronda akan mula bersiaran pada 4 Oktober 2024, setiap Jumaat jam 10 malam di TV31. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan aksi dan drama yang pasti akan membuatkan anda tidak berganjak dari tempat duduk!



Comments


bottom of page