top of page
Writer's pictureMYB

Piotr Lobodzinski Dan Valentina Belotti Kuasai Cabaran Mendaki KL Tower 2024

Atlet mendaki menara bertaraf dunia, Piotr Lobodzinski dari Poland dan Valentina Belotti dari Itali membuktikan kehebatan mereka dalam Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 yang berlangsung hari ini di ibu negara.


Piotr Lobodzinski Dan Valentina Belotti  Kuasai Cabaran Mendaki KL Tower 2024
Juara baru!... Piotr Lobodzinski dinobatkan sebagai juara kategori Lelaki Terbuka pertandingan Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024

Lobodzinski berjaya mengatasi cabaran mendaki 1,608 anak tangga Menara KL dengan catatan masa mengagumkan 8 minit 8 saat untuk dinobatkan sebagai juara kategori Lelaki Terbuka. Beliau menewaskan jaguh tempatan Soh Wai Ching yang mencatat masa 8 minit 16 saat untuk tempat kedua, manakala Lo Ching Chun dari Taiwan di tempat ketiga dengan catatan 9 minit 13 saat.


Dalam kategori Wanita Terbuka pula, Valentina Belotti membuktikan kehebatannya dengan mencatat masa 10 minit 18 saat untuk muncul juara. Atlet dari Kenya, Eunice Nyawira Muchiri menduduki tempat kedua dengan masa 10 minit 38 saat, diikuti Le Qing Hua dari China di tempat ketiga dengan catatan 11 minit 30 saat.


Piotr Lobodzinski Dan Valentina Belotti  Kuasai Cabaran Mendaki KL Tower 2024
Valentina Belotti dinobatkan sebagai juara kategori Wanita Terbuka pertandingan Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 selepas menewaskan juara edisi lalu, Eunice Nyawira Muchiri dari Kenya

Edisi ke-22 kejohanan berprestij ini menyaksikan penyertaan memberangsangkan seramai 1,500 peserta dari 15 buah negara yang berjaya mengharungi cabaran mendaki ke Dek Pemerhatian Menara KL pada ketinggian 292 meter. Kejohanan tahun ini mencatat sejarah baru apabila jumlah anak tangga yang perlu didaki bertambah kepada 1,608 tangga berbanding 1,576 tangga pada tahun-tahun sebelumnya.


Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Nazli Saad berkata kejohanan ini bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi ia membuktikan ketahanan, keazaman dan semangat kesatuan para peserta.


"Dengan sokongan padu daripada rakan kongsi dan para peserta, kami berharap dapat meningkatkan prestij kejohanan ini dan menjadikan Menara KL sebagai tuan rumah kepada kejohanan bertaraf dunia pada masa hadapan," tambah beliau.


Piotr Lobodzinski Dan Valentina Belotti  Kuasai Cabaran Mendaki KL Tower 2024

Para pemenang menerima hadiah wang tunai yang lumayan dengan juara kategori Lelaki dan Wanita Terbuka masing-masing membawa pulang RM15,000. Kejohanan yang mendapat tajaan utama Turkish Airlines ini turut menawarkan hadiah-hadiah menarik termasuk tiket penerbangan ke Istanbul dan penginapan hotel mewah melalui cabutan bertuah.


Kejayaan penganjuran Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan yang bertaraf antarabangsa, sekaligus mempromosikan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.



Comments


bottom of page