Kuala Lumpur - Dua personaliti TV popular, Ain Edruce dan Sherry Alhadad, kini memasuki arena muzik dengan pelancaran single Raya bertajuk "Balik Kampung...Gosip Raya" yang dijangka akan menjadi fenomena pada Syawal tahun ini.

Dilancarkan di bawah Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama AEON, lagu yang digelar sebagai 'paling havoc' ini membawa nafas segar terhadap tradisi perbualan dan gosip yang sering berlaku semasa musim perayaan.
Menurut Sherry Alhadad, kerjasama dalam projek ini berlaku secara spontan. "Sony Music hadir menyatakan hasrat mereka tentang sebuah lagu Raya, pertama kali mendengarnya terus saya katakan 'YES!' Tanpa berfikir panjang, saya pun terus setuju, begitu juga dengan Ain, dan semuanya siap dalam masa sebulan," jelasnya.

Ain Edruce pula menyatakan bahawa walaupun ini bukan kali pertama mereka bekerjasama, tetapi ia merupakan pengalaman pertama kedua-dua personaliti ini bertemu dalam sebuah lagu. "Bayangkan, kalau di set pun kami sudah 'havoc', apatah lagi dalam studio rakaman," kata Ain.
Muzik video lagu ini turut menampilkan artis-artis terkenal seperti Hafiz Hamidun, Vanessa Reynauld, Adrianna Cinta dan bintang hip hop, Kidd Santhe, dengan tema "Seloka Raya - Dari Dulu Hingga Kini" yang menonjolkan koleksi fesyen Raya AEON.

Low Ngai Yuen, Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Malaysia berkata kerjasama dengan Sony Music Malaysia adalah kerana keupayaan mereka menggabungkan budaya dengan muzik kontemporari. "Keunikan Sony dalam menghasilkan muzik yang merentasi generasi selari dengan tema Raya AEON tahun ini," katanya.
Lagu ini juga membawa mesej yang lebih mendalam, mendefinisikan semula makna gosip - bukan sekadar perbualan kosong, tetapi sebagai medium untuk mengeratkan hubungan keluarga dan rakan-rakan.
"Saya berharap lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebagai 'wake-up call'. Bukankah lebih baik kalau kita fokus pada menikmati hidangan Raya daripada sibuk bergosip tentang orang lain?" tambah Sherry dengan penuh semangat.
"Balik Kampung...Gosip Raya" kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube, serta tersedia untuk dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering melalui semua syarikat telekomunikasi tempatan.
Comments