Permohonan Ijazah Sarjana Muda Politeknik Sesi 2026/2027 Kini Dibuka
- oleh Editor MYBUZZ
- 4 Jun 2026 11:11 am
PUTRAJAYA – Peluang keemasan buat lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta aliran akademik untuk melonjakkan tahap pengajian mereka ke peringkat tertinggi kini kembali terbuka.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengumumkan bahawa permohonan kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Politeknik bagi Sesi Akademik 2026/2027 telah mula dibuka secara rasmi. Tempoh permohonan berjalan selama sebulan bermula 3 Jun 2026 sehingga tarikh tutup pada 3 Julai 2026.
Menariknya, calon yang berminat tidak perlu bersesak atau mengeluarkan belanja bagi membeli nombor PIN. Sebaliknya, proses permohonan boleh dilakukan secara terus dan mudah melalui pautan dalam talian https://ambilan.mypolycc.edu.my.
Bagi sesi Akademik I 2026/2027, sebanyak 12 program ijazah sarjana muda yang berteraskan bidang teknologi, kejuruteraan, rka bentuk, dan pengurusan ditawarkan merentasi empat buah politeknik terpilih:
- Politeknik Ungku Omar (PUO), Perak: Menawarkan tujuh program merangkumi Teknologi Kejuruteraan Awam, Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pengurusan Rangkaian Bekalan), Teknologi Kejuruteraan Komputer, Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Teknologi Kejuruteraan Marin, serta Teknologi Senibina.
- Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Perak: Menawarkan program Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Reka Bentuk Automotif).
- Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Selangor: Menawarkan bidang Teknologi Kejuruteraan Elektronik Perubatan serta Teknologi Pengurusan Fasiliti.
- Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor: Menawarkan pengajian dalam Reka Bentuk Media Baharu serta Sains Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti.

Lepasan diploma berpeluang sambung Ijazah Sarjana Muda Politeknik. Permohonan kemasukan dibuka sehingga 3 Julai 2026
Selaras dengan agenda peluasan akses di bawah Pelan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2035, tawaran ini tidak hanya terhad kepada lepasan Diploma atau Diploma Lanjutan Politeknik semata-mata. Pelajar semester akhir Diploma Politeknik (Sesi II: 2025/2026) yang baru tamat latihan industri turut layak mencuba nasib.
Malah, JPPKK kini membuka pintu seluas-luasnya kepada pelbagai kategori lepasan lain termasuk:
- Lepasan Diploma dan pelajar semester akhir Kolej Komuniti.
- Lepasan program Asasi TVET Politeknik.
- Lepasan Asasi Sains / Sains Fizikal / Kejuruteraan daripada Universiti Awam (UA).
- Lepasan Kolej Matrikulasi KPM (jurusan Sains / Kejuruteraan).
- Lepasan Diploma Kejuruteraan / Teknologi Kejuruteraan / Teknologi dari IPTA dan IPTS.
- Lepasan STPM, STAM, serta pemilik Sijil APEL.A T-6.
Bagi memastikan calon tidak terlepas pandang, berikut adalah kronologi tarikh penting proses kemasukan yang perlu diberi perhatian:
- Semakan Temuduga: 14 Julai 2026.
- Sesi Temuduga: 20 hingga 25 Julai 2026.
- Hebahan Keputusan Tawaran: 21 Ogos 2026.
- Pendaftaran Pelajar Baharu: 21 September 2026.
Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai perincian program, kaedah permohonan penuh serta syarat kelayakan akademik khusus, orang ramai dinasihatkan melayari laman sesawang https://ambilan.mypolycc.edu.my. Pertanyaan lanjut juga boleh dikemukakan terus kepada Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar JPPKK dialamat Kementerian Pendidikan Tinggi Aras 6, Galeria PJH, Jalan P4W, Persiaran Perdana 62100 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya atau di talian 03-88883837, WhatsApp 03-88885625 atau melalui emel jppkk.ambilan@mohe.gov.my.
