top of page

Penyanyi Kelahiran Singapura, Ryzall Noh Bawa Nafas Sufisme Dalam "Darwish"

  • Writer: MYB
    MYB
  • 6 hari lalu
  • 2 min membaca

Penyanyi berbakat dari Singapura, Ryzall Noh, kini mula mencuri perhatian pendengar muzik Malaysia melalui single terbarunya "Darwish" yang menggabungkan unsur sufisme dengan sentuhan muzik kontemporari.


Penyanyi Kelahiran Singapura, Ryzall Noh Bawa Nafas Sufisme Dalam "Darwish"

Meskipun namanya mungkin belum sebesar penyanyi Singapura lain di Malaysia, bakat serba boleh Ryzall sebagai penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik membuatnya sebagai nama yang perlu diperhitungkan dalam industri muzik serantau.


"Darwish bercerita tentang seorang manusia biasa yang sedia berkorban apa sahaja demi mendapatkan cinta 'kekasihnya' dan melunaskan rindu yang lama terpendam," jelas Ryzall mengenai lagu barunya yang sedang mendapat perhatian di stesen radio Malaysia dan Singapura.


Lebih menarik, lagu ini turut mendapat sambutan di stesen radio Amerika Latin dan Sepanyol, membuktikan daya tarikan universal karya ini yang mengetengahkan tema sufisme.


"Darwish ini sememangnya terkenal dalam cerita-cerita sufisme. Kesimpulannya ia cerita tentang sufi iaitu perjalanan mencari Tuhan," tambah penyanyi yang pernah menjadi vokalis kumpulan Audionauts ini.


Penyanyi Kelahiran Singapura, Ryzall Noh Bawa Nafas Sufisme Dalam "Darwish"

Ryzall bukanlah nama baru dalam industri muzik serantau. Semasa bersama Audionauts dari 2010 hingga 2017, beliau telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Kumpulan/Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2013, Lagu Tertinggi Royalti di Anugerah Compass Singapura, dan Artis Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik 2015.


Perjalanan solo Ryzall kini diperkuatkan dengan kolaborasi bersama nama-nama besar industri. "Darwish" dihasilkan dengan kerjasama Hairul Anuar Harun selaku penulis lirik yang terkenal dengan karya-karya ikonik seperti "Cindai", "Hati Kama", dan "Sesuci Lebaran".


"Saya beruntung dan bersyukur bekerja dengan orang-orang hebat dalam penghasilan lagu ini," ujar Ryzall yang turut berkongsi bahawa komposisi lagu ini merupakan usaha sama beliau dengan Yazri Malik.



Penghasilan "Darwish" juga melibatkan barisan pemuzik terkenal seperti Addy Cradle (gitar), Wendy D'bagindas (bass), dan suara latar oleh Amelia Azizan. Proses rakaman dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu Studio 47 (Singapura), Studio Starlight (Indonesia), dan Studio Sci-fi (Malaysia).


Selain "Darwish", Ryzall turut mempromosikan beberapa projek lagu lain seperti "Tak Seindah Kata" dan "Sebuah Cinta". Penyanyi yang juga aktif sebagai pelakon, komposer, dan penulis lirik ini kerap berkongsi perkembangan terkini di platform media sosial seperti Instagram, TikTok, dan YouTube.


Bagi peminat yang ingin mendengar "Darwish" dan lagu-lagu Ryzall yang lain, mereka boleh mengakses platform penstriman seperti Spotify dan Apple Music.



Commentaires


bottom of page