top of page
Writer's pictureMYB

PAPUH Anjur Pameran Pelancongan Muslim 2024

Updated: 24 Jul

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) bakal menganjurkan Pameran Pelancongan Muslim 2024 (PAPUH Muslim Travel Fair 2024), yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Julai 2024 di Hotel Grand Barakah, Ampang.


PAPUH Anjur Pameran Pelancongan Muslim 2024
Setiausaha Agung Kehormat, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia, Faridah Hamid (tengah duduk) bersama anggota PAPUH ketika sidang media bagi mengumumkan PAPUH Muslim Travel Fair 2024 pada 26 - 28 Julai ini.

Pameran ini bertujuan untuk mempromosikan pakej umrah dan ziarah yang akan ditawarkan oleh agensi-agensi yang mempunyai lesen penuh (seperti Inbound, Outbound, Ticketing dan Umrah) untuk mengambil bahagian. Sebanyak 50 syarikat akan mengambil bahagian dalam acara pada kali ini, dan ini adalah yang pertama dianjurkan oleh PAPUH selepas COVID-19.


PAPUH sebelum ini telah menerima banyak rungutan daripada ahli memandangkan ramai jemaah yang tertipu dengan pakej-pakej murah yang banyak diiklankan di laman media sosial. Para jemaah ini tertipu disebabkan terpengaruh dengan pakej yang ditawarkan dengan harga murah dan akhirnya tidak dapat terbang. Setelah diselidik baru mereka tersedar yang mereka membeli pakej daripada agensi yang tidak berlesen.


PAPUH turut bekerjasama dengan Syarikat penerbangan SAUDIA yang akan memberikan diskaun istimewa untuk tempahan yang dibuat pada 3 hari sepanjang pameran ini berlansung kepada semua ahli PAPUH yang menyertai acara pada kali ini . Diskaun bertujuan untuk menyediakan ahli dengan pilihan perjalanan yang berpatutan dan memastikan pengalaman tempahan yang tidak menyusahkan.


PAPUH Anjur Pameran Pelancongan Muslim 2024

Selain itu, Maybank dan Bank Rakyat juga akan turut menyertai acara PAPUH Muslim Travel Fair 2024 ini dengan menawarkan pelbagai pakej pembiayaan untuk mengerjakan umrah dan pelancongan muslim. Pakej pembiayaan 'Pergi Dahulu Bayar Kemudian' juga akan turut diperkenalkan semasa acara ini berlangsung.


Selain dari pakej umrah, PAPUH Muslim Travel Fair 2024 turut mempromosikan destinasi pelancongan halal pada harga yang luar biasa dan menonjolkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan pengembara Muslim di seluruh dunia. Daripada penginapan mesra Muslim kepada pengalaman masakan halal, pengunjung boleh mengharapkan untuk menemui peluang pelancongan baharu dan menarik.


Sebagai tarikan buat pengunjung, PAPUH akan menawarkan hadiah cabutan bertuah untuk orang ramai yang membuat tempahan semasa pameran tersebut termasuk hadiah utama berupa pakej Umrah percuma. Insentif ini bertujuan untuk memberi ganjaran kepada tempahan awal dan memberi insentif kepada peserta untuk mendapatkan rancangan perjalanan mereka dengan agensi yang dipercayai.




Comments


bottom of page